Kerajaan Melaka tumbang: Sejak bila Bagan Datuk ambil berat tentang pilihan raya? - Khalid Samad

Hasimi Muhamad
Oktober 4, 2021 11:59 MYT
Khalid mempersoalkan sejak bila Ahli Parlimen Bagan Datuk itu 'mengambil berat' tentang pilihanraya - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad hari ini menyindir Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan cadangan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Soal Khalid, yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), sejak bila Ahli Parlimen Bagan Datuk itu 'mengambil berat' tentang pilihan raya.
Ini kerana dakwa Khalid, Ahmad Zahid antara individu yang berada dalam kumpulan yang terlibat dalam menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), melalui Langkah Sheraton.
"Sejak bila Bagan Datuk ambil berat tentang pilihan raya?
"Lalu janganlah berpura-pura... hakikatnya, mereka sangat takut kerajaan PH akan kembali memerintah, bukan sahaja di (kerajaan) pusat, tetapi di peringkat negeri-negeri," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ahmad Zahid hari ini mencadangkan DUN Melaka dibubarkan bagi membolehkan mandat diberikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang dirasakan layak menerajui negeri itu.
BACA: Kerajaan Melaka tumbang: 'Tak mengapa hilang kerajaan negeri' - Ahmad Zahid cadang bubar DUN
Mengulas lanjut, Khalid menyarankan agar Kerajaan Negeri Melaka dibiarkan sahaja ditadbir oleh kepimpinan baharu sehingga PRU akan datang, jika benar kerajaan sekarang bermaruah dan pentingkan rakyat.
"Biar kerajaan Melaka yang baharu itu meneruskan pemerintahan dan membuktikan kepada rakyat supaya rakyat boleh memilih pada PRU yang akan datang, mana satu yang lebih baik... itu hak rakyat.
"Walaupun tak seronok (aktiviti) lompat (parti) ini, (tetapi) inilah budaya yang dimulakan oleh Langkah Sheraton.
"Yang hairan, golongan terlibat dalam Langkah Sheraton pula yang nak kutuk (lompat parti). Ini adalah hipokrasi yang nyata (ultimate in hypocrisy)," ujarnya.
Sebelum ini, tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad turut mencadangkan agar DUN Melaka dibubar, atau darurat diisytiharkan.
#Dewan Rakyat #Khalid Samad #Zahid Hamidi #kerajaan melaka tumbang #UMNO #DUN Melaka #pilihan raya negeri #PRN