KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa tidak terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada sebuah kerajaan minoriti. 

Beliau menjawab kepada pertanyaan sama ada seseorang yang telah mendapat mandat dari Ahli Parlimen ketika pembentukan kerajaan campuran membuat pengakuan terbuka telah hilang sokongan dan kini adalah kerajaan minoriti.

Jelas Azalina dalam perkongsian soalan lazim di ciapan Twitternya pada Sabtu, Perdana Menteri tersebut perlu meletakkan jawatan terlebih dahulu.

"Tidak boleh, kerana beliau harus meletakkan jawatan dahulu sebagai Perdana Menteri menurut Perkara 43(4) Perlembagaan.

"Kerajaan minoriti yang tidak dibentuk dan dikendalikan dengan baik akan mudah tergugat dan tidak akan bertahan lama, kerana kerajaan minoriti akan menghadapi kesulitan dalam meluluskan rang undang-undang di Parlimen.

"Ini akan menjejaskan kebolehan kerajaan untuk mentadbir dan mengurus sebuah kerajaan," katanya.


Berhubung persoalan mengenai jika seseorang Ahli Parlimen tidak mempunyai sokongan majoriti tetapi masih ingin menawarkan diri sebagai Perdana Menteri, ini jawapan beliau. 

"Artikel 43(2) Perlembagaan tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong untuk menjemput mana-mana Ahli Parlimen untuk menawarkan dirinya sebagai Ketua Kerajaan, dengan syarat beliau mendapat mandat dari majoriti Ahli Parlimen.

"Penekanan yang diberikan di sini ialah usul seharusnya datang daripada Ahli Parlimen dan bukan parti politik," jelasnya lagi.

Bagaimanapun jelas Azalina lagi, langkah kedua pula jika tiada seorang pun Ahli Parlimen mendapat mandat majoriti, maka tawaran kerajaan minoriti bersama Ahli Parlimen yang memberi sokongan bersyarat boleh dilakukan.

Namun jelasnya, ia perlu melalui persetujuan Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA) kepada beliau.

Mengulas mengenai peranan Raja Berperlembagaan pula, tambah Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu, Perlembagaan Persekutuan tidak mewajibkan Yang di-Pertuan Agong membentuk Kerajaan Malaysia.

"Ataupun menghendakkan Seri Paduka Baginda bertindak sebagai perunding atau orang tengah bagi pihak parti-parti politik untuk membentuk sebuah kerajaan.

"Sebaliknya, tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong adalah hanya untuk melantik seorang Ahli Parlimen Yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Parlimen," kata Azalina.

Mengulas lanjut, kedua-dua langkah itu jelasnya berdasarkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Artikel 40(2) Perlembagaan.

Manakala Ahli Parlimen yang dipilih sebagai Perdana Menteri perlu mempunyai keabsahan oleh kerana beliau memenuhi syarat dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.