SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Exco bagi membantu mengukuhkan pentadbiran negeri.
Jelasnya, jawatan Exco secara keseluruhannya akan diisi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti komponen termasuk Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN).
“Kemungkinan kita juga akan... melantik Timbalan Exco. Timbalan Exco? Kemungkinanlah... sedang... sedang difikirkan.
“Sebab kita ramai kan? Dan mungkin tak boleh nak accommodate (penuhi) semua orang dalam barisan. Jadi, kita mungkin akan mewujudkan (Timbaan Exco) di dalam beberapa portfolio yang saya fikirkan penting,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Negeri, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Ismail berkata, proses pemilihan barisan Exco masih diperhalusi dengan mengambil kira keseimbangan antara parti, kawasan dan penyertaan wanita.
“Bayangan itu ada, tetapi masih diharmonikan lagi. Kita ambil kira parti, kita ambil kira daerah. Tak mungkin satu daerah sampai ramai sangat. Kita kena bahagi juga dan kita fikirkan wanita,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan, jumlah Exco dijangka kekal kepada 10 orang seperti yang diperuntukkan ketika ini, manakala portfolio serta barisan penuh Exco dijangka diumumkan seawal Jumaat atau selewat-lewatnya Isnin depan.
Ismail hari ini, secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kesembilan.
Beliau yang mengenakan sut berwarna biru gelap, tiba di bangunan Wisma Negeri, di sini, pada jam 9 pagi, disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, sebelum mengimbas cap jari.