KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin Kerajaan Perpaduan akan kekal utuh sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau yang juga Presiden UMNO itu berkata, perkara itu mampu dicapai sekiranya gabungan politik sedia ada mampu mengangkat idealisme dan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujarnya lagi, kedudukan kerajaan ketika ini sedang menyaksikan sejarah lakaran terbaharu dalam arena politik yang dibentuk dalam semangat kepelbagaian.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) meminta jangan lagi pernah menoleh ke belakang, rakyat seluruh negara mahu PM bersama 19 parti yang ada terus memacu Malaysia sebagai negara terkehadapan.

“Perkara ini dibuktikan, saya saksikan dalam majlis Aidilfitri yang kita hadiri, saya terkejut sebagai rakan lama (politik), kita terpinggir selama 25 tahun dan sekarang kita bersama semula… saya yakin idealisme diterjemah dalam dasar yang baik, Kerajaan Madani pasti lepasi PRU16,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pimpinan utama Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berhasrat agar Anwar mampu mengembalikan semula Malaysia antara yang di hadapan dalam kalangan negara ASEAN.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai soal kejayaan terbentuknya Kerajaan Perpaduan yang tidak akan terbentuk tanpa kerjasama UMNO.

Ahmad Zahid berkata, meskipun hanya menyumbang 30 kerusi Parlimen namun ia telah menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.

“UMNO dan BN, biarpun 30 kerusi Parlimen, kami adalah pelengkap. Jika Pakatan Harapan (PH) ada 82 (kerusi) tanpa yang 30 tidak ada Kerajaan Perpaduan.

“Yang kami fikir bukan kepentingan tetapi kita fikir tentang mudarat, mana mudarat lebih besar, tapi kami ambil keputusan mudarat kecil adalah dengan Anwar dan mudarat itu menjadi keberuntungan kepada rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menyifatkan perhimpunan yang berlangsung di Dewan Merdeka ini sebagai satu sejarah kerana kesemua 19 parti politik berada di bawah satu bumbung yang sama.

“Buat apa kita berlawan, kita kukuhkan Kerajaan Perpaduan. 25 tahun lampau di Dewan Merdeka ini menyaksikan insan bersama dengan kita, telah diaibkan, dihina, dan dizalimi. 25 tahun kemudian insan itu adalah Perdana Menteri Malaysia.

“Dulu ramai sangat fobia dengan Dewan Merdeka... tapi itu dulu, sekarang realitinya kita bentuk politik baharu, politik Kerajaan Madani.

“Dulu ada yang memandang warna merah dan biru sangat fobia. Saya ucapkan tahniah kepada sekretariat... tiada perbezaan warna, hanya warna putih,” jelasnya lagi.