KUALA LUMPUR:Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang membangunkan negara melalui pembinaan sahsiah, menentang virus maut COVID-19, memperluas sektor industri kecil sederhana dalam aliran ekonomi negara dan mengurangkan peratus pengangguran, kata Timbalan Menteri l Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berpandangan kerajaan semasa melakukan sehabis baik demi rakyat, serta menegaskan bahawa kerajaan PN membangunkan negara bukan dalam bentuk membina bangunan pencakar langit atau sebagainya.

"Oleh sebab itu, selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen Lipis dan Timbalan Menteri, saya berpandangan kerajaan telah melakukan sehabis baik demi rakyat. Kerajaan ini tiada masa untuk memikir strategi menambah kekayaan diri sendiri atau kroni," katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.

Dengan merujuk kepada pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan veteran politik Tengku Razaleigh Hamzah yang disampaikan dalam sidang media pada Isnin, beliau berkata perkara yang dibangkitkan kedua-dua tokoh itu hanyalah mengenai impak negatif oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menurutnya dakwaan kedua-dua mereka bahawa ahli-ahli politik yang berada dalam Jemaah Kabinet sekarang ini hanya untuk mencari kekayaan dan bukan untuk memajukan negara, adalah tidak tepat sama sekali.

 
Sumber Facebook abdulrahmanmohamadp079

Abdul Rahman berkata beliau yakin sekiranya tidak ada pandemik COVID-19, kerajaan PN yang terbentuk dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), Pas, Bersatu dan GPS itu mampu bekerja jauh lebih hebat berbanding zaman pentadbiran sebelumnya.

Beliau seterusnya meminta kedua-dua tokoh itu memberi kepercayaan dan menyatakan sokongan dalam perjuangan menaikkan semula nama Malaysia dan membantu rakyat yang dalam kesusahan.

Terdahulu, dalam satu sidang media pada Isnin, bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir bersama veteran politik Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh mengumumkan kesediaan mereka bekerjasama dalam menawarkan pengalaman masing-masing bagi mencapai matlamat mengubah ekonomi negara ke arah lebih baik dan stabil, secara bipartisan di atas platform memajukan negara.

-- BERNAMA