Kerajaan tidak pernah menipu rakyat apabila melontarkan janji dan akan melaksanakan sesuatu projek pembangunan termasuk membina hospital-hosiptal baru di negeri ini, kata Pengerusi Barisan Nasional Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Menurut Zambry, setiap janji yang dibuat akan dilaksanakan tetapi sama ada ia akan bermula serta-merta atau memakan masa bergantung kepada masalah yang dihadapi kerajaan dalam proses melaksanakan sesuatu projek mengikut kawasan.

Beliau memberikan contoh pembinaan Hospital Parit Buntar yang dijadikannya isu kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 oleh pembangkang di kawasan itu dengan menuduh kerajaan menipu rakyat kerana hospital itu masih belum nampak sehingga hari ini.

"Betul kita berjanji untuk bina Hospital Parit Buntar. Pilihan raya yang lepas kita cuba laksana, tapi kita menghadapi masalah kerana tapak tanah adalah bekas sawah.

"Maka JKR (Jabatan Kerja Raya) kena buat pemulihan tanah, selepas itu perlu masa untuk lagi nak tunggu tanah mampat, proses ini semua memakan masa tapi ini tidak bermaksud kerajaan tipu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah Klinik Kesihatan Manjoi, di Kampung Gugusan Manjoi tengahari tadi.

Zambry yang juga calon bagi kerusi Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor menegaskan BN adalah kerajaan bertanggungjawab dan tidak akan membuat sebarang janji sekiranya tidak mampu melaksanakannya.

“Kita tak janji sekiranya kita tahu ia tak boleh dilaksanakan. Ada perkara yang boleh kita segerakan tetapi ada perkara yang tak boleh dibuat serta-merta kerana pelbagai faktor termasuk faktor teknikal.

“Kita harap rakyat faham soal ini. Sekiranya pihak sana (pembangkang) boleh berjanji mereka ada lampu Aladin, gosok-gosok terus jadi… kita angkat tangan (kalah),” katanya.

Hospital Parit Buntar pernah menjadi isu hangat dalam kalangan penduduk tempatan kawasan utara negeri ini apabila ia masih gagal dilaksanakan setelah kerajaan berjanji membinanya pada PRU-12.