KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang yang menyokong keputusan kerajaan untuk tidak membubarkan DUN sehingga tamat tempoh penggal.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan kerajaan negeri dapat memberi fokus kepada isu-isu rakyat yang menjadi keutamaan, tambahan pula dalam situasi memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April ini.

"Kita tidak mahu mengheret rakyat terlibat dengan pendekatan politik yang tidak menguntungkan mereka," katanya pada sesi penggulungan sidang DUN di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini dilaporkan berkata, PAS memutuskan untuk tidak membubarkan DUN di tiga negeri dikuasainya iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan sehingga habis penggal, tahun depan bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

-- BERNAMA