Skip to main content
Advertisement

Politik

Kerjasama PH-BN di Pulau Pinang perlu terus diperkukuh demi kepentingan rakyat - Rashidi

GEORGE TOWN, 23 Dis - Exco Perdagangan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol (kanan) dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S Jegan pada Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di Tanjong Tokong hari ini. - fotoBERNAMA
Rashidi menyifatkan persefahaman politik yang terbentuk di Pulau Pinang selepas PRN 2023 sebagai satu kerjasama yang wajar dihargai dan terus diperkukuh. - Gambar Bernama
Advertisement

GEORGE TOWN: Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan kepentingan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Rashidi Zinol berkata kerjasama antara kedua-dua gabungan parti politik pada peringkat pusat dan kerajaan negeri selama ini telah berjalan dengan amat baik dan konstruktif. 

"Sepanjang tempoh tiga tahun saya menjalankan amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya tidak pernah menghadapi sebarang masalah dalam hubungan kerja dengan pimpinan serta rakan-rakan daripada PKR dan DAP di Pulau Pinang. 

"Sebaliknya, hubungan kerja yang terjalin adalah berasaskan sikap saling menghormati, persefahaman, komunikasi yang baik serta keutamaan terhadap kepentingan rakyat dan pembangunan negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perbezaan latar belakang parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bekerjasama apabila matlamat utamanya adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik dan rakyat mendapat manfaat.

Rashidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal menyifatkan persefahaman politik yang terbentuk di Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 sebagai satu kerjasama yang wajar dihargai dan terus diperkukuh.

Wakil tunggal BN dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu berkata keputusan PH Pulau Pinang untuk mengekalkan wakil BN dalam pentadbiran negeri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang juga mencerminkan kepentingan kesinambungan kerjasama berkenaan. 

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan sokongan kepada pendirian pada peringkat pusat bahawa Kerajaan Perpaduan perlu terus dipertahankan dan diperkukuh sehingga tamat penggal demi memastikan kestabilan pentadbiran negara, kesinambungan dasar, serta tumpuan kerajaan kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat. 

Pada PRN Pulau Pinang 2023, gabungan PH dan BN menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, dengan DAP memenangi kesemua 19 kerusi ditandingi, PKR (tujuh), Amanah (satu) dan BN (dua).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement