KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpandangan kesilapan yang pernah dilakukan Barisan Nasional (BN) pada masa lalu masih boleh diperbetulkan.
Beliau berkata demikian ketika membandingkan kelemahan UMNO pada masa lalu dengan Pakatan Harapan (PH), sambil memberi bayangan Pas boleh menerima kemenangan BN dalam kerangka kerjasama dan perpaduan politik Melayu.
“Kita menghadapi kelemahan UMNO di masa lalu (namun) kelemahan PH teruk pada UMNO lagi. Tak apalah. Biar BN menang. Dia pernah buat salah dia perbetul balik,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pas Negeri Johor di Ayer Hitam, Johor hari ini.
Abdul Hadi turut berkata Pas melihat pendekatan perpaduan sebagai jalan untuk menyatukan masyarakat majmuk dengan berpaksikan perpaduan Melayu serta kerjasama bersama masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem.
Menurutnya, Pas mahu membawa pendekatan perpaduan ummah dengan UMNO diberi ruang mentadbir Johor, sementara Pas mempunyai pengalaman mentadbir Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Beliau dalam masa sama meminta ahli Pas di Johor bersabar sekiranya masih belum memperoleh kerusi, sambil memberi bayangan peluang berkenaan mungkin hadir pada masa akan datang.
“Insya-Allah adalah kerusi akan datang, kita kena buat perubahan secara tenang. Perubahan yang baik, yang matang dan sejahtera,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai lalu, BN mengekalkan pentadbiran negeri selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, meningkat daripada 40 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2022.
PH memperoleh baki lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN), termasuk Pas, gagal memenangi sebarang kerusi.
Pas ketika itu meletakkan 11 calon sebagai sebahagian daripada 33 calon PN yang bertanding di Johor, namun kesemuanya tewas.
Berbeza di Negeri Sembilan, kerjasama BN dan PN pada PRN negeri itu pada 1 Ogos lalu menyaksikan kedua-dua gabungan memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.
BN memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi, dengan Pas menyumbang empat kerusi dan Parti Wawasan Negara tiga kerusi.
UMNO pula memenangi kesemua 16 kerusi yang ditandinginya, manakala MCA memperoleh dua kerusi.
Di peringkat Persekutuan pula, BN merupakan antara komponen utama Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.