Skip to main content

Politik

Kestabilan Kerajaan Persekutuan bergantung kepada keutuhan gabungan - Penganalisis

PUTRAJAYA, 30 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kekuatan dan kelangsungan Kerajaan Persekutuan hari ini tidak boleh hanya dinilai bersandarkan populariti seorang pemimpin semata-mata, sebaliknya perlu dilihat menerusi keutuhan gabungan induk yang menerajui pentadbiran negara, kata penganalisis politik, Datuk Prof Dr Sivamurugan Pandian. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kekuatan dan kelangsungan Kerajaan Persekutuan hari ini tidak boleh hanya dinilai bersandarkan populariti seorang pemimpin semata-mata, sebaliknya perlu dilihat menerusi keutuhan gabungan induk yang menerajui pentadbiran negara.


Penganalisis politik, Datuk Prof Dr Sivamurugan Pandian.berkata, kestabilan jangka panjang memerlukan kesepakatan jitu antara semua parti komponen bagi memastikan kesinambungan dasar dan perpaduan dalam pentadbiran dapat dikekalkan.


Menyentuh naratif kepimpinan UMNO mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal, beliau menjelaskan perkara tersebut wajar dilihat sebagai isyarat politik untuk meninjau kesiapsiagaan jentera parti, bukannya penentuan tarikh rasmi pembubaran Parlimen.


"Persoalannya bukan semata-mata awal atau lewat, tetapi adakah mandat politik semasa perlu diperbaharui sebelum penggal tamat demi memperkukuh kestabilan pentadbiran? Barangkali perkara itu yang mahu diperhalusi dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang," katanya dalam temubual bersama Astro AWANI baru-baru ini.


Bagaimanapun, Sivamurugan menegaskan keputusan mengenai pembubaran Parlimen kekal sebagai kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, berpandukan pertimbangan strategik yang menyeluruh demi kepentingan negara.


Menurutnya, Perdana Menteri akan meneliti pelbagai faktor utama merangkumi perkembangan ekonomi, prestasi dasar semasa, sentimen rakyat, serta kesiapsiagaan parti-parti politik sebelum membuat sebarang keputusan.


"Timing itu cukup penting dalam menentukan tarikh pilihan raya. Bila dikatakan awal, ia bukannya esok atau lusa, tetapi barangkali dalam tempoh enam hingga lapan bulan supaya semua pihak dapat bersiap sedia dengan teratur," jelas beliau.

 

Mengulas asas keyakinan parti politik yang bersandarkan kejayaan pada beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, beliau mengingatkan agar pencapaian tersebut dinilai secara realistik kerana landskap pengundian di peringkat Persekutuan mempunyai dinamik yang berbeza.

 

Beliau menambah, cabaran utama ketika ini adalah mengekalkan fokus kerajaan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, di samping membina persefahaman mantap dalam menghadapi gelanggang politik yang sentiasa dinamik.

Must Watch Video

Advertisement