Kerjasama politik (tahaluf siyasi) perlu mendorong kepada kebaikan bukan keburukan seperti permusuhan, kritikan yang memecah belah parti dan campur tangan pihak tertentu, kata Musyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.

Menurut beliau, kerjasama politik yang diputuskan sebagai wasilah untuk memastikan nilai, dasar dan hukum Islam ditegakkan demi keredaan Allah.

"Tahaluf siyasi bukan janji. Tahaluf sekarang ini adalah tahaluf siyasi ta'awun lil-maslahah (kerjasama politik untuk mencapai kebaikan). Jika tidak ada maslahah, faham-faham sajalah.

"Kalau ada maslahah, kita pakai. Kalau berlaku mafsadah seperti permusuhan, kritikan pecah belah, campur tangan, kita kena rujuk kepada Al-Quran.

"Oleh itu, saya menggesa ahli, ahli syura, dan ulama PAS yang menyayangi PAS beriltizam untuk mempertahankan PAS di tengah-tengah tentangan segenap penjuru," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS di sini, hari ini.

Ketaatan hendaklah diberikan kepada kepimpinan PAS bukan kepada parti lain dalam bertahaluf.


Dalam ucapannya juga, Haron menyenaraikan enam garis tahaluf siyasi yang perlu difahami dan dipegang selepas diputuskan.

Antara yang disebut beliau, kerjasama tersebut harus digunakan untuk menegakkan Islam, dan membuka ruang pelaksanaan hukum Islam.

Katanya, dengan kerjasama yang mengikut garis panduan itu, ia dapat memastikan Islam dapat dipertahankan.

"Ketaatan hendaklah diberikan kepada kepimpinan PAS bukan kepada parti lain dalam bertahaluf.

"Ia juga menjadi ruang medan dakwah.

“Dan yang terakhir Majlis Syura Ulama mempunyai kuasa penuh membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi sama ada terdapat maslahah atau mafsadah dari semasa ke semasa," katanya.