KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun mengajak semua pemimpin untuk mengetepikan perbezaan dan kepentingan parti selain bersatu sebagai satu pasukan demi negeri tercinta.

Mengulas mengenai persaingan pemimpin politik negara, Masidi berkata, penyatuan semua pemimpin parti di Sabah akan menjadi titik permulaan sejarah politik di negeri itu.

‘’Bagi saya buat pertama kalinya dalam sejarah politik, marilah kita bersatu. Isu kita bukan antara Bersatu dengan UMNO atau STAR, isu dia adalah sejauh mana kita bersedia mengenepikan perbezaan yang remeh bagi kesejahteraan Sabah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Antirasuah bagi sektor korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Kota Kinabalu, Sabah.

Tambahnya, beliau turut berharap agar negeri Sabah mampu berkembang dan maju seperti Semenanjung dengan memandang serius keutamaan negeri itu.

‘’Saya berharap Sabah akan dapat dimajukan seperti di Semenanjung. Mereka boleh berjuang kerana mereka sudah maju, seperti jajaran jalan.

‘’Kita perlu mengutamakan apa yang utama iaitu pembangunan Sabah, rakyatnya, ini adalah perkara pokok.
‘’Saya boleh katakan pada usia ini saya masih boleh berjuang jika saya mahu. Saya berjuang untuk rakyat Sabah,’’ tambahnya lagi.

Selain itu, ketika memberi respon kepada keputusan UMNO Sabah yang mahu mengekalkan kerusi tradisi di negeri itu, Masidi berkata beliau kembali menyokong kenyataan Datuk Jeffrey Kitingan yang mengutamakan kerjasama dengan parti itu.