KUALA LUMPUR: Dua inisiatif baharu diperkenalkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi memudahkan syarikat tempatan mendapatkan pembiayaan berasaskan harta intelek.
Langkah itu merangkumi dana pembiayaan penilaian harta intelek berjumlah RM1 juta serta modul penilaian harta intelek yang pertama di Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu membolehkan nilai harta intelek syarikat dinilai secara profesional untuk menyokong urusan pembiayaan, pelesenan dan pelaburan.
Katanya, dana itu disediakan bagi membantu menampung kos penilaian harta intelek bagi syarikat tempatan terpilih.
"Kita telah merintis usaha untuk melaksanakan transformasi kepada MyIPO, kita tahu MyIPO adalah institusi kerajaan yang diberi mandat oleh kerajaan untuk perlindungan harta intelek (IP).
"Namun kita mahu MyIPO bertindak bukan hanya sebagai sekadar pendaftar dan pelindung kepada IP tetapi juga untuk menggerakkan transformasi dalam aspek pengkomersialan IP kerana kita tidak mahu IP ciptaan inovator tempatan berakhir di makmal dan hanya berlegar kepada nilai ekonomi tradisional semata-mata," katanya selepas menyempurnakan Persidangan dan Pameran Kebangsaan Pengkomersialan Harta Intelek (IP CONFEX) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Jelas Armizan, inisiatif kedua pula bertujuan menyeragamkan kaedah penilaian, selain membangunkan tenaga pakar penilai harta intelek tempatan.
Langkah itu bagi membantu syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan teknologi yang mempunyai harta intelek, tetapi berdepan kekangan mendapatkan pembiayaan kerana tiada cagaran fizikal.
Armizan berkata, kedua-dua inisiatif ini saling melengkapi dalam membangunkan ekosistem Pembiayaan Berteraskan Harta Intelek yang lebih tersusun.
"Dana pembiayaan akan membantu syarikat mendapatkan perkhidmatan penilaian, manakala modul yang diperkenalkan akan memperkukuh kapasiti, kepakaran dan piawaian dalam melaksanakan proses penilaian tersebut.
"Langkah ini juga bertepatan dengan pelan transformasi strategik lima tahun (2025-2030) melalui MyIPO NEXTGEN yang memfokuskan transisi harta intelek daripada sekadar instrumen perlindungan undang-undang kepada antara aset strategik memacu ekonomi negara," katanya.