Skip to main content

Malaysia

APPG-IGAR gesa enam reformasi institusi kritikal disegerakan

Kenyataan dikeluarkan APPG-IGAR pada Khamis, menyeru supaya reformasi institusi mesti mempunyai garis masa, mekanisme pelaksanaan dan pertanggungjawaban yang jelas.
Kenyataan dikeluarkan APPG-IGAR pada Khamis, menyeru supaya reformasi institusi mesti mempunyai garis masa, mekanisme pelaksanaan dan pertanggungjawaban yang jelas.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan enam reformasi institusi kritikal dalam penggal Parlimen semasa bagi memastikan agenda reformasi diterjemahkan kepada perubahan yang sebenar dan berkekalan.

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (APPG-IGAR) berkata, reformasi berkenaan perlu diterjemahkan kepada undang-undang berkesan, institusi bebas serta mekanisme pertanggungjawaban yang boleh dikuatkuasakan.

Enam reformasi itu melibatkan pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Kebebasan Maklumat, pembiayaan politik, reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Perkhidmatan Parlimen dan reformasi pilihan raya.

Bagi pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, APPG-IGAR mahu ia dilaksanakan dalam penggal Parlimen semasa dengan kebebasan pendakwaan yang tulen serta pertanggungjawaban jelas kepada Parlimen.

Dalam isu Kebebasan Maklumat, mereka menegaskan ketelusan tidak boleh bergantung kepada budi bicara institusi, sebaliknya perlu dijamin melalui undang-undang termasuk mekanisme rayuan dan penguatkuasaan bebas.

Bagi pembiayaan politik pula, peraturan jelas dan boleh dikuatkuasakan perlu diwujudkan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk pengisytiharan sumbangan politik, audit bebas akaun parti serta had sumbangan dan perbelanjaan.

APPG-IGAR turut mahu kebebasan SPRM dijamin melalui undang-undang dan perlindungan institusi, termasuk proses pelantikan telus, kebebasan operasi serta pengawasan Parlimen yang berkesan.

Dalam pada itu, reformasi Parlimen perlu memberikan kemerdekaan institusi sebenar, manakala reformasi pilihan raya perlu menangani isu perbelanjaan kempen, kempen digital dan influencer berbayar, penyalahgunaan jentera kerajaan, undi pos serta risiko baharu berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Kumpulan itu turut menegaskan reformasi institusi mesti mempunyai garis masa, mekanisme pelaksanaan dan pertanggungjawaban yang jelas.

“Kami menuntut pelaksanaan,” tegas kumpulan berkenaan, sambil menegaskan reformasi tidak seharusnya terhenti pada pengumuman atau kelulusan undang-undang.

Must Watch Video

Advertisement