KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menempelak anggota Kabinet dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat berkenaan isu-isu yang patut dijadikan fokus semasa persidangan.

Tegasnya, isu 'kosmetik' seperti nama 'Timah' dilihat jauh lebih penting daripada isu ketirisan, penyelewengan, pekerjaan dan pendidikan yang berkualiti.

"Yang sedihnya, kalau kita lihat laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara, pada tahun lepas lebih RM620 juta dibazirkan kerana ketirisan berlaku.

"Kita lihat juga sama pelaksanaan program laptop yang sepatutnya diberi pada anak-anak muda. Hanya dua minggu lepas baru berjaya dimuktamadkan.

"Walhal perkara ini harus diguna pakai oleh anak-anak sejak awal tahun lagi, sejak mereka masuk ke sekolah.

"Apa mesejnya yang saya nak hantar di sini? Pelaksanaan adalah kunci kepada projek kerajaan," ujarnya.

Menurutnya, masalah yang membelenggu Malaysia ketika ini jarang didengar, diperbahas atau didebatkan di Dewan Rakyat terutama berkenaan isu pelaksanaan.

"Tetapi sejak dua minggu lepas setiap hari kita akan dengar isu apa? Isu ‘Timah”. Tukar nama 'Timah'.

"Adakan mesyuarat khas Kabinet bincangkan isu 'Timah'. Putuskan penukaran nama itu dalam mesyuarat Kabinet.

"Ada tiga menteri perlu bincangkan secara khas berkenaan isu 'Timah'. Hanya berkenaan satu nama syarikat yang telahpun wujud di Malaysia bertahun-tahun.

"Adakah fokus yang sama, kritikan yang sama, diberikan berkenaan isu RM620 juta ini, ketirisan yang berlaku?.

"Ia melibatkan ratusan ringgit wang rakyat. Tidak ada. Senyap. Lesap. Diam sahaja dalam Dewan ini. Tetapi berkenaan isu 'Timah', seperti ini adalah isu terbesar di negara," luahnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Malah katanya, menteri bertanggungjawab terhadap alam sekitar, kelestarian dan perubahan iklim telah menghurai panjang isu 'Timah', namun tanggungjawab hakiki membawa nama baik negara dalam persidangan COP26, tidak diendahkan langsung.