Skip to main content

Malaysia

Aliran trafik menghala ibu kota mula perlahan petang ini

BUTTERWORTH, 7 Jun -- Keadaan aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan, Seberang Jaya hari ini.  Orang ramai mula pulang ke kediaman masing-masing pada hari terakhir cuti sekolah pertengahan tahun selain selepas cuti umum berganda baru-baru ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELHARA
Pihak berkuasa lebuh raya telah mengaktifkan laluan Smart Lane (laluan kecemasan) di beberapa lokasi strategik bagi mengurangkan kepadatan kenderaan dan melancarkan perjalanan. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menuju ke ibu kota dilaporkan bergerak perlahan setakat 2 petang ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata pertambahan kenderaan itu disebabkan orang ramai mula pulang ke kediaman masing-masing pada hari terakhir cuti sekolah pertengahan tahun selain selepas cuti umum berganda baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun berlaku peningkatan jumlah kenderaan, keadaan trafik secara keseluruhan masih terkawal dan tiada kesesakan luar biasa atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1 bagi arah selatan, pergerakan trafik dilaporkan perlahan dari Seberang Jaya menuju ke Prai, selain dari Bandar Cassia ke Jawi.

"Bagi Laluan E2 pula, aliran kenderaan turut dikesan perlahan dari Senawang ke Port Dickson serta selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke pusat bandar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke barat (ibu kota), pergerakan trafik perlahan dikesan dari Gambang ke Sri Jaya serta laluan dari Lentang ke Bukit Tinggi.

Sebagai langkah proaktif, pihak berkuasa lebuh raya telah mengaktifkan laluan Smart Lane (laluan kecemasan) di beberapa lokasi strategik bagi mengurangkan kepadatan kenderaan dan melancarkan perjalanan.

Sementara itu, aliran trafik keluar dari ibu kota menuju ke arah utara mahupun selatan dilaporkan lancar tanpa sebarang gangguan. 

Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu dengan cermat dan mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang perjalanan pulang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement