SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Samad mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan seolah-olah cuba mendiamkan bantahan orang ramai terhadap Proklamasi Darurat.

Khalid menjelaskan dakwaan itu dibuat berdasarkan kenyataan Takiyuddin yang mengatakan penubuhan Jawatankuasa Proklamasi Darurat, adalah tidak berdasarkan undang-undang.

Khalid menegaskan bahawa kenyataan Takiyuddin seolah-olah secara terang-terangan mengarahkan Yang di-Pertuan Agong agar hanya mendengar keputusan jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan dan bukannya pendapat jawatankuasa lain.

"Dalam kenyataannya juga dia (Takiyuddin) mengatakan dalam Ordinan Darurat 2021 hanya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini mempunyai kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.

"Macam seolah-olah Agong pun dia nak kawal, bahawa Agong tak boleh dengar yang lain. Agong hanya kena dengar jawatankuasa yang dia tubuh.

Beliau juga mendakwa Takiyuddin sengaja mengeluarkan kenyataan sedemikian sebagai usaha menakutkan dan menghalang mereka yang ingin menandatangani petisyen menyokong penamatan darurat.

Malah, Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berpendapat Takiyuddin memberi gambaran bahawa Jawatankuasa Tamatkan Darurat tidak mempunyai kuasa dan tidak layak membantah Poklamasi Darurat.

Beliau menegaskan kenyataan Khalid jauh berbeza dengan apa yang dikatakan oleh Pengerusi Jawatankuuasa Khas Bebas Darurat, Tun Arifin Zakaria yang menjelaskan pihaknya sedia mendengar saranan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat.

"Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Arifin Zakaria yang menunjukkan sikap yang terbuka dan demokratik serta menghormati hak rakyat Malaysia.

"Kerajaan adalah pihak yang memberi khidmat kepada rakyat. That is democracy bukan yang menekan dan menindas rakyat," katanya lagi.

Khalid menegaskan Takiyuddin sebagai seorang peguam dan Menteri Hal Ehwal Undang-undang sepatutnya lebih memahami Perlembagaan negara.

Beliau juga mendakwa sikap Takiyuddin itu memberi gambaran Pas kini sudah tidak lagi berjuang atas asas demokrasi seperti ketika era Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.