PENULIS pernah menggunakan analogi berikut ketika membahaskan isu keperluan kepada kesepakatan Ahli-ahli Parlimen dalam meluluskan pembentangan Belanjawan 2021 tahun lepas.

“Zairy seorang ketua mekanik yang membuat baik pulih keseluruhan (overhaul) enjin ke atas sebuah kereta.

Baik pulih telah siap dan kesemua komponen enjin kereta telah siap dipasang semula.

Ujian pemanduan menunjukkan masih ada komponen yang perlu dibaiki semula dan ada komponen yang perlu diganti.

Inilah proses yang perlu dihadapi oleh kerajaan ketika fasa pemulihan ekonomi.

Pada ketika ini, adalah lebih baik pulih ekonomi itu dikemudi oleh pasukan mekanik yang sama bagi mengurangkan risiko.

Pengambilalihan oleh pasukan mekanik lain boleh dipertimbangkan di masa akan datang setelah penilaian dilakukan.”

Analogi di atas masih lagi relevan dalam konteks kepincangan politik, ekonomi dan kesihatan yang sedang dihadapi Malaysia pada ketika ini.

Bagi memudahkan pemahaman, saya cuba mengupas serba ringkas dari sudut pandangan ekonomi berkenaan prestasi kerajaan dan harapan pemerintahan baharu dengan mengaitkan kepada analogi di atas.

Pasukan mekanik terdahulu telah melaksanakan tugasan seperti yang diperlukan dengan baik.

Enjin telah dibaikpulih secara keseluruhannya dan kereta Zairy juga telah bergerak.

Pasukan mekanik juga telah melaksanakan beberapa inovasi ke atas enjin kenderaan tersebut yang bertujuan memastikan kenderaan dapat bertahan.

Situasi ini diterjemahkan kepada usaha-usaha proaktif kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menstabilkan ekonomi akibat impak perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Selain beberapa pakej rangsangan ekonomi, penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi dan Majlis Pekerjaan Nasional, perlaksanaan Program Upah Subsidi dan kemudahan moratorium pinjaman adalah antara usaha-usaha yang signifikan diambil oleh kerajaan PN.

Pada pandangan pemilik kereta berkenaan, kelajuan dan prestasi enjin masih lagi belum mencapai tahap yang optimum.

Pelbagai pakej rangsangan dan pelan yang dilaksanakan, keadaan ekonomi menunjukkan situasi yang membimbangkan.

Jika dibiarkan berterusan, Malaysia boleh terjerumus kepada kemelesatan jangka panjang.

Pelbagai faktor mempengaruhi semasa proses pembaikan enjin berkenaan yang memberi impak kepada prestasi kelajuannya.

Antara faktor tersebut ialah komposisi pasukan mekanik. Kemahiran dan kompentensi ahli pasukan mekanik adalah berbeza-beza.

Begitu juga pasukan pentadbiran kerajaan PN yang dianggotai oleh mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan hierarki politik yang berbeza.

Mencari kesepakatan dalam proses pembuatan keputusan penting berkemungkinan sukar untuk diperolehi dengan mengambil kira situasi di mana pasukan ini ditubuhkan dalam jangka masa singkat.

Selain daripada itu, enjin kereta tersebut bermungkinan memerlukan tempoh operasi yang lebih lama untuk mencapai tahap prestasi yang optimum selepas ianya dibaik pulih.

Dalam konteks ekonomi pada ketika ini, tempoh yang lebih lama ini berisiko kepada negara.

Penutupan aktiviti ekonomi dan kawalan pergerakan yang lama berpotensi memberi impak jangka panjang.

Masalah sosial juga berkait dengan kedudukan ekonomi rakyat.

Kini, ketua dan pasukan mekanik baharu akan dilantik oleh pemilik kereta iaitu Zairy untuk meniliti semula, memperkemas dan mempertingkat prestasi enjin keretanya.

Pasukan baharu ini mempunyai tugas penting untuk memastikan ekonomi dan kesihatan rakyat kembali kepada keadaan normal.

Ketua mekanik ini perlu mendapat sokongan dan dokongan padu daripada ahli-ahli pasukannya. 

Ini memastikan keputusan-keputusan penting dan mungkin tidak popular dari segi politik yang diambil mendapat sokongan majoriti atau keseluruhan pasukan.

Ketua mekanik ini juga perlu berani mengambil risiko ke atas usaha-usaha untuk menyelamatkan kelangsungan ekonomi rakyat.

Apapun, dua tugas besar menanti pasukan baharu dalam masa terdekat iaitu pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 dan Belanjawan 2022.

Kedua-dua ini penting kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi. Kita berharap episod tahun lepas seperti mana Belanjawan 2021 tidak berulang pada kali ini.

Kita juga berharap perubahan kepimpinan ini membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.



* Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari ialah Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, PERKESO

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.