KEBELAKANGAN ini terdapat banyak kenyataan populis yang menyatakan tidak sesuai untuk mengadakan pilihan raya kini kerana musim banjir sudah hampir tiba.

Mereka yang membuat kenyataan ini adalah di kalangan ahli-ahli politik dari kedua-dua belah pihak iaitu pembangkang mahupun kerajaan dan segelintir dari parti UMNO sendiri yang tidak tahu mengikut garisan parti.

Kesemuanya mereka ini kononnya memikirkan hal rakyat  dengan memberi 'soundbites' yang sedap didengar tetapi secara logiknya jauh tersasar.

Sebaliknya, kebarangkalian banjir berlaku di masa kempen pilihan raya itulah yang sepatutnya memberi ketenangan kepada rakyat yang mungkin akan terjejas dengannya.

Pertama - Jika banjir tidak berlaku, kehidupan mereka berjalan seperti biasa dan mereka boleh sama ada:

a) Turut berkempen untuk parti yang mereka sokong;

b) Hanya keluar untuk mengundi di hari kejadian; atau

c) Pilih untuk tidak langsung mengundi.

Kedua - Jika banjir berlaku di musim pilihan raya, sudah tentunya semua parti-parti yang bertanding akan memberi pertolongan dari segi kudrat mahupun bantuan kewangan untuk mangsa, sama ada di atas keikhlasan pihak-pihak tersebut atau semata-mata untuk meraih undi.

Sekali gus hal ini menyebabkan beban mereka akan berkurangan berbanding hanya bertungkus-lumus dengan keluarga masing-masing membersihkan rumah dari lumpur dan sebagainya.



Dari itu, di manakah logik pemimpin dan pembangkang yang mengatakan ia akan membebankan mangsa?

Sebenarnya ia akan membebankan mereka yang menolak cadangan pembubaran di waktu banjir kerana jika banjir berlaku, calon-calon dan parti-parti pemalas inilah yang 'terpaksa' menunjuk muka dan memberi bantuan kepada mangsa.

Di Johor, dalam tiga minggu yang lepas telah terjadinya banjir. Lihat sahaja parti mana yang turun padang untuk membantu rakyat. Bayang-bayang pembangkang pun tiada kelihatan di tempat-tempat terlibat sedangkan mereka yang menggesa agar Pilihan Raya Umum (PRU) tidak diadakan di musim tengkujuh.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin mereka boleh pula turun ke tempat-tempat yang tidak banjir untuk memberi ceramah menentang PRU diadakan di waktu ini, dengan alasan musim banjir hampir tiba.

Terbukti sudah, sebelum PRU diadakan, siapa yang turun padang dan membantu mangsa ketika susah dan pihak mana yang hanya sibuk berceramah menghasut rakyat.

Kesimpulannya, pengundi harus menolak mereka yang tidak habis-habis menakut-nakutkan orang ramai atas nama kebajikan rakyat, sedangkan mereka sebenarnya membangkang kerana hendak mengelak dari membantu rakyat di kala amat memerlukan pertolongan.

Dengan tulus ikhlas dan taat setia.


* Penulis adalah mantan ADUN Kempas (2013-2018) dan memegang keahlian UMNO 01059553.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Sidang Pengarang Astro AWANI.