SEJAK beberapa hari lalu suasana meriah pilihan raya sudah mulai dirasai di seluruh negara.

Aktiviti menaikkan bendera dan memasang khemah parti, walaupun tidak dibenarkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1958 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 sehingga semalam, kelihatan rancak.

Pekerja-pekerja parti bertungkus-lumus siang dan malam, malah menunjukkan saingan dan kekuatan masing-masing.

Bilangan parti yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti itu bukan satu, dua seperti yang pernah disaksikan masa-masa lalu. Tetapi jumlahnya banyak, di luar jangkaan.

Pihak berkuasa tempatan juga nampak fleksibel dan tidak mempamerkan ketegasan.

Bermakna perang bendera, poster dan khemah sudah tidak dapat dielakkan.

Tempoh dua minggu mulai hari ini merupakan hari besar bagi pekerja-pekerja parti.

Dan, di sebalik itu, hari ini, tanggal 5 November, merupakan hari penting bagi calon-calon yang bakal disahkan sebagai pesaing pilihan raya.

Penamaan calon - satu proses yang hanya akan berlangsung selama 60 minit - pada pagi ini, amat penting dalam pengurusan pilihan raya.

Tidak kira pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum yang disaksikan hari ini – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bukan sahaja kepada pekerja-pekerja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi juga kepada calon-calon yang bertanding. Termasuk calon-calon bebas.

Tempoh satu jam, dari 9 hingga 10 pagi, akan menentukan nasib setiap mereka yang hendak bergelar calon.

Pun begitu, mereka belum lagi boleh bergelar wakil rakyat pada peringkat ini.

Untuk menjadi wakil rakyat mereka perlu menang pada 19 November. Ada dua minggu lagi untuk bersaing.

Di bawah undang-undang pilihan raya, dan sebagaimana disebutkan dalam buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir, istilah “penamaan calon” dari segi kepentingan seseorang calon bererti tindakan seseorang yang mempunyai kelayakan yang diwajibkan untuk mendaftar secara sah dan formal untuk bertanding sebagai calon dalam mana-mana pilihan raya dan untuk mana-mana bahagian pilihan raya yang telah menjadi kosong.

Penamaan calon dilakukan pada hari dan dalam masa ditetapkan oleh SPR, iaitu apabila berlaku kekosongan atau pembubaran, badan pengurusan pilihan raya itu akan menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) akan mengeluarkan notis dalam Borang 3. Notis itu mengandungi tarikh, tempat dan masa penamaan calon akan dijalankan.

Setiap individu yang berhasrat untuk turun gelanggang pilihan raya perlu mengambil segala langkah yang diwajibkan oleh undang-undang pilihan raya  dengan sewajarnya dan juga dengan berhati-hati, lagi sebetul-betulnya bagi memastikan borang penamaan calon mereka tidak ditolak.

Siapa yang layak menjadi calon?

Setiap calon perlulah warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas, susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada Julai 2019, pada hari penamaan calon, bermastautin tetap di Malaysia, bukan seorang yang disahkan sebagai tidak sempurna akal, bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan, bukan seorang pemegang “jawatan berpendapatan”, bukan seorang yang telah gagal untuk mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya dalam masa dan dengan cara yang dikehendaki sebagai calon/ejen pilihan raya dalam pilihan raya yang lepas, bukan orang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan belum menerima pengampunan, bukan seorang yang telah memperoleh kewarganegaraan negara lain atau menikmati keistimewaan sebagai warganegara mana-mana negara lain.

Peruntukan 4(1), Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 menyebut bahawa “mana-mana orang yang berkelayakan untuk dipilih menjadi seorang ahli Dewan Rakyat, atau ahli Dewan Undangan bagi sesuatu Negeri, mengikut Perlembagaan Malaysia, atau Perlembagaan sesuatu negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh dinamakan sebagai seorang calon pilihan raya.”

Perkara-perkara lain yang perlu diketahui termasuklah:

Peruntukan (3):  “Calon hendaklah dinamakan dengan menggunakan kertas penamaan seperti yang dinyatakan dalam Borang 4 atau 4a, mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam Jadual Pertama.”

Peruntukan (4): “Pencadang dan penyokong mana-mana calon hendaklah merupakan pemilih berdaftar bagi bahagian pilihan raya yang baginya calon itu hendak dipilih.”

Peruntukan (5): “Setiap kertas penamaan hendaklah juga mengandungi masing-masing tandatangan calon, pencadang, penyokong dan saksi yang di hadapannya calon itu menurunkan tandatangannya.”

Peruntukan 6(2): “Kertas penamaan mestilah diserahkan kepada pegawai pengurus - (a) di tempat penamaan; dan (b) antara pukul 9 pagi dan 10 pagi pada hari penamaan, oleh calon dan pencadang dan penyokongnya atau oleh mana-mana dua atau mana-mana seorang daripada mereka.”

Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 adalah penjelasan dan keterangan dalam bentuk undang-undang yang khusus berkaitan dengan penjalanan pilihan raya.

Terdapat sebanyak 31 peruntukan yang telah disediakan, yang harus dipatuhi oleh semua calon.

Peraturan ini mengandungi tatacara yang diberikan secara khusus mengenai pelbagai aspek penjalanan pilihan raya, termasuk writ dan notis pilihan raya, cara penamaan calon dijalankan, cara menentukan pilihan raya yang dipertandingkan dan yang tidak dipertandingkan termasuk pelantikan RO, Ketua Pusat Mengundi dan Ketua Tempat Mengundi dan pelbagai pelantikan lain, hak pemilih untuk mengundi, cara pengundian dijalankan, tatacara sewaktu pengundian ditutup, pengiraan undi, penyimpanan dokumen pilihan raya, pengiraan undi awal dan pos, pelupusan kertas undi dan pelbagai tatacara lain yang perlu diketahui dan dipatuhi oleh semua pihak di dalam urusan penjalanan pilihan raya.

Saingan luar biasa

Apa yang menarik, secara berpandingan, jumlah calon pada kali akan merekodkan paras yang agak luar biasa berbanding empat tahun lalu.

Meskipun jumlah kerusi yang dipertandingkan terutama kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah lebih kecil kerana hanya melibatkan tiga negeri, tetapi semangat pada kali ini agak berlainan.

Untuk rekod, pertandingan hanya diadakan bagi 222 kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri. Perak menawarkan 59 kerusi, Pahang (42) manakala Perlis (15).

Selain itu, trend jumlah penjuru persaingan sudah pasti bertambah berbanding PRU14.

Ini disebabkan oleh pertambahan jumlah parti dan gabungan serta didokongi oleh kemahuan beberapa pihak untuk bertanding sebagai calon bebas atas dasar mahu membawa pembaharuan dan perubahan.

Ini termasuk Gerak Independent yang berhasrat meletakkan lima calon setakat. Antara kerusi sasaran can bebas itu termasuklah Bagan Datuk, Batu dan Wangsa Maju.

Setakat semalam SPR telah menjual 4,326 borang penamaan calon. Daripada itu, sebanyak 3,036 bagi kerusi Dewan Rakyat manakala baki 1,290 bagi kerusi DUN.

Bagi kerusi Parlimen, Sabah yang terkenal dengan rekod paling ramai bersaing telah merekodkan pembelian sebanyak 716 borang bagi 22 kerusi, Perak (326: 24), Selangor (266: 22), Kelantan (262: 14), Johor (253: 26), Pulau Pinang (219: 13), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya (163: 13), Kedah (150: 14), Pahang (144: 14), Terengganu (118: 8), Sarawak (100: 25), Melaka (73: 6), Perlis (52: 3), Negeri Sembilan (24: 8). Ibu pejabat SPR sendiri telah 170 borang. Di peringkat DUN pula, ibu pejabat SPR telah menjual 61 borang, Perak (654), Pahang (422) dan Perlis (153).

Melihat daripada jumlah sambut bagi saingan 222 kerusi Dewan Rakyat, purata 13 calon bakal bertanding di setiap kawasan pada pilihan raya umum kali. 

Dan, melihat kepada taburan kerusi peringkat Pusat ini, mengambil kira pelbagai faktor dalam kawalan dan luar kawalan, kemungkinan kita tidak dapat menolak bahawa sebahagian besar kawasan akan melibatkan saingan enam hingga lapan penjuru.

Kemunginan beberapa kawasan akan melibatkan saingan 10 penjuru, terutama di Sabah.

Perlis yang hanya memperuntukkan tiga kerusi Parlimen menunjukkan sebanyak 52 set borang telah dibeli dengan purata 17 borang bagi setiap kerusi. Bagi Perlis ia sesuatu yang luar biasa.

Setelah pembubaran diisytiharkan, SPR mempunyai tugas menentukan tarikh-tarikh pilihan raya dengan mengadakan satu mesyuarat khas selepas pembubaran atau satu kekosongan wujud.

Tarikh-tarikh yang diumumkan ialah tarikh penamaan calon (tidak kurang daripada empat hari selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan) dan tarikh pembuangan undi (tidak kurang daripada 11 hari selepas tarikh penamaan calon).

PRU15 merupakan pilihan raya yang memperlihatkan pelbagai kelainan dan keunikan.

Salah satunya bilangan gabungan dan parti yang bertanding, yang jumlahnya bertambah PRU14.

Di sesetengah parti turut menyaksikan wujudnya rasa tidak senang dengan keputusan pucuk pimpinan memilih calon kali ini.

Justeru, bilangan mereka yang ingin bertanding juga bakal meningkat, iaitu calon bebas atau menyertai parti atau gabungan lain.

Oleh itu, PRU15 yang sudah pun mengukir sejumlah keunikan dan kelainan tersendiri dijangka menambah warna-warni apabila proses penamaan calon berakhir menjelang tengah hari ini.

Senarai Semak Ketika Kemuka Borang Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke-15

[1]  Calon mestilah warganegara Malaysia
[2]  Berumur 18 tahun dan ke atas
[3]  Seorang yang sempurna akal
[4]  Calon setuju untuk dinamakan sebagai calon dan menandatangani Kertas Penamaan Calon
[5]  Tidak tersenarai dalam status kebankrapan mengikut rekod Jabatan Insolvensi
[6]  Tidak memegang jawatan berpendapatan (perlu ada surat kelulusan peletakan jawatan bagi kakitangan kerajaan selaras dengan Perkara 132, 133 dan 160 Perlembagaan Persekutuan)
[7]  Tidak menjalani hukuman penjara melebihi satu tahun dan denda tidak melebihi RM2,000
[8]   Tidak bertanding lebih satu Bahagian Pilihan Raya Parlimen/DUN (seorang boleh bertanding kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN)
[9]  Mengemukakan alamat mastautin di mana-mana Bahagian Pilihan Raya di Malaysia sebagaimana yang tertera dalam kad pengenalan calon
[10]  Mengemukakan resit deposit pilihan raya sebagai bukti pembayaran (RM5,000 kerusi DUN / RM10,000 kerusi Parlimen)
[11]  Mengemukakan resit deposit bahan kempen pilihan raya sebagai bukti pembayaran (RM3,000 kerusi DUN / RM5,000 kerusi Parlimen)
[12]  Nama pencadang dan penyokong tersenarai dalam daftar pemilih bagi kerusi Parlimen di mana calon bertanding / dalam daftar pemilih bagi kerusi DUN calon bertanding
[13]  Penyokong dan pencadang dikehendaki menandatangani Kertas Penamaan Calon
[14]  Saksi perlulah seorang warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas

Sumber: Buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir



* Dr G Manimaran penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.