TIGA Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut dalam tempoh kurang dua tahun merupakan sesuatu yang luar biasa dalam landskap pilihan raya.

Negara tidak pernah menyaksikan senario seperti ini dalam enam dekad pilihan raya demokrasi.

Malah ini kali pertama dua negeri di Semenanjung memanggil pilihan raya mengejut untuk keluar dari krisis politik dengan kembali kepada rakyat bagi mendapatkan mandat segar.

Melaka merintis langkah itu November lalu. Kini giliran Johor. Sabah yang tidak asing dalam hal ini dan telah beberapa kali mengadakan PRN mengejut, termasuk yang terakhir September 2020, dalam tempoh 27 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ramai berpandangan PRN mengejut di Melaka dan Johor boleh dielakkan sementara menanti kehadiran PRU15 dalam beberapa bulan.

Kepimpinan Melaka telah mengetengahkan hujah mereka memanggil PRN mengejut.

Ke selatan lagi, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menegaskan, kerajaan negeri pimpinan UMNO bersetuju mengadakan PRN Johor bagi mendapatkan mandat baharu.

Mandat 'segar' diperlukan kerana sebelum ini kerajaan pimpinannya hanya 'bergerak' atas ihsan pembangkang terutama apabila hendak membuat sebarang keputusan.

"Memandangkan kedudukan kerajaan yang boleh dikatakan bergerak atas ihsan pembangkang, ini tak wajar berlaku di Johor... sebab itu pertimbangan mengadakan pilihan raya dilakukan."

Beliau seterusnya menarik perhatian:"Saya perlu dapatkan semula mandat rakyat untuk Johor lebih maju, lebih berjaya."

Apa pun kritikan dan ulasan digariskan, di bawah Perlembagaan Negeri, Menteri Besar mempunyai hak dan budi bicara memanggil PRN dengan pembubaran diberi berkenan oleh ketua negeri.

Susulan itu ada spekulasi bahawa selepas ini akan ada banyak PRN mengejut ketika mandat semasa masih segar. Dilabel sebagai trend baharu.

Bagaimanapun, salah satu kerajaan negeri dirujuk iaitu Perak, yang berada di bawah UMNO sejak tahun lalu, menolak andaian tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak akan berlaku di Perak kerana kerajaan negeri masih mendapat sokongan kuat termasuk daripada pembangkang dan akan diteruskan sehingga habis penggal.

“Sehingga ke hari ini, saya masih lagi mempunyai sokongan yang kuat, baik daripada parti dalam kerajaan mahupun pihak pembangkang.

“Dengan ruang masa yang masih ada sehingga habis penggal ini, lebih baik beri tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri ini dan menjaga kebajikan rakyat,” jelas beliau yang baru-baru ini menghadiri program anjuran DAP, komponen Pakatan Harapan.

Johor dan Perak merupakan dua negeri yang mengikat persefahaman dengan pembangkang sejak lebih setahun lalu, sehingga menjadi contoh kepada negeri-neger lain dan Pusat.

Kecuali di Sabah dan Sarawak, PRN secara berasingan di Semenanjung jarang berlaku.

Sebab itu terma "PRN" adalah luar biasa sehingga apa yang disaksikan di Melaka tahun lalu.

Kecuali di Kelantan pada Mac 1978 ekoran krisis politik yang membawa kepada darurat dan seterusnya pembubaran DUN.

Meskipun beberapa negeri diperintah oleh pembangkang, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, sebelum PRU14, lazimnya akan membubarkan serentak DUN masing-masing apabila kerajaan Pusat memutuskan untuk mengadakan PRU.

Sarawak yang awalnya mengadakan kedua-dua pengundian bagi kerusi DUN dan Parlimen serentak mengambil langkah memanggil PRN secara berasingan mulai 1979.

Dalam pada itu, Sabah yang pernah mengadakan PRN berasingan memutuskan untuk bergerak sama mulai PRU 1999.

Susulan PRN September 2020, yang dipanggil sebagai mengejut, menunjukkan Sabah kembali kepada format asal.

Kemungkinan Sabah, Melaka dan Johor tidak akan mengadakan PRN apabila PRU dipanggil.

Sejak PRU14, negara telah menyaksikan banyak perkara luar biasa dalam landskap pilihan raya. Termasuklah semakin banyak PRN mengejut. 

Pilihan raya mengejut ialah pilihan raya dipanggil lebih awal sebelum mandat penuh semasa berakhir.

Ia boleh membawa kelebihan dan juga sebaliknya. Apapun, kerajaan yang memerintah akan menggunakan segala kesempatan untuk turun gelanggang dengan memanggil PRN mengejut.

Sementara banyak pihak berpandangan bahawa PRN Johor tidak akan memberi majoriti dua pertiga kepada mana-mana parti yang bertanding, tetapi pola aliran keputusan PRN Melaka dan Sarawak kemungkinan boleh memberi gambaran awal berkaitan bakal keputusan di Johor, dengan tarikh pengundian dijangkakan awal Mac, sebulan selepas sambutan Tahun Baharu Cina dan sebulan sebelum kedatangan bulan Ramadan.

Di sebalik pelbagai andaian dan spekulasi bakal keputusan PRN Johor dengan bilangan parti dan calon bakal bertanding termasuk jumlah pengundi bakal menyaksikan rekod baharu, PRU15 sewajarnya dipanggil secepat mungkin untuk meredakan persekitaran politik yang makin tidak menentu meskipun kepimpinan kerajaan peringkat Persekutuan telah berubah tiga kali.

Satu kesamaan menarik antara Johor dan Pusat - Menteri Besar dan Perdana Menteri telah berubah tiga kali sejak Mei 2018.



* Dr G Manimaran merupakan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.