SHAH ALAM: Wakil Pembahas Sarawak mengingatkan Kerajaan Perpaduan agar menunaikan janji berhubung tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) orang asal Sarawak.

Berbahas pada Kongres Nasional Khas 2023, Ketua Cabang PKR Kuching, Dominique Ng berkata, Kerajaan Perpaduan disaran mengiktiraf NCR dengan menyenaraikan ia dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti sektor perladangan kelapa sawit.

"Kita (PKR) sudah berkempen berkali-kali bahawa jika dapat bentuk kerajaan, kita akan kembalikan NCR kepada semua pemilik orang asal Sarawak.

"Walaupun di Sarawak, kita (PKR) tidak jadi kerajaan setakat ini, tapi GLC seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), atau Lembaga Tabung Haji (TH) adalah dimiliki oleh kerajaan.

"Kita (Kerajaan) boleh mengarahkan untuk buat apa yang terbaik (untuk orang asal Sarawak).

"Lakukan apa yang sepatutnya iaitu mengiktiraf NCR orang asal Sarawak, termasuk memasukkan mereka ke dalam GLC sektor perladangan kelapa sawit dan skim," katanya pada sesi pembahasan tersebut, di sini, pada Khamis.

Dengan mengiktiraf pemilikan tanah berkenaan, Ng menambah rakyat Sarawak akan menikmati faedah daripada pembangunannya.

"Dengan langkah serupa, rakyat Sarawak boleh mendapatkan keuntungan atau manfaat serta rasai sikit perubahan dalam kehidupan mereka.

"Dengan langkah ini, kita dapat memperkasakan hak Sarawak dan Sabah dalam kerangka Malaysia Madani," ujarnya lagi.

Dianggarkan seramai 1,200 perwakilan PKR dari seluruh negara hadir pada Kongres Nasional Khas yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini.