Skip to main content

Politik

Kongres PKR 2026 jadi pemangkin perkukuh gerak kerja parti - Fahmi

Sumber: BERNAMA
Fahmi berkata kongres itu menjadi ruang untuk bermuhasabah, mendengar suara akar umbi, menilai kekuatan serta kelemahan parti dan memperbaharui tekad perjuangan. - Foto Facebook/Fahmi Fadzil
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026 yang melabuhkan tirainya pada Ahad menjadi medan memperbaharui tekad perjuangan serta memperkukuh gerak kerja parti dalam memastikan agenda perjuangan terus memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kongres yang berlangsung selama dua hari itu bukan sekadar medan untuk berucap dan berbahas, malah menjadi ruang untuk bermuhasabah, mendengar suara akar umbi, menilai kekuatan serta kelemahan parti dan memperbaharui tekad perjuangan.

Beliau berkata amanat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan jelas bahawa perjuangan reformasi mesti berterusan dan kekuatan parti perlu sentiasa berpaksikan kepada kepentingan rakyat.

“Kita pulang ke kawasan masing-masing dan kembali bertemu rakyat, dengar pandangan mereka, fahami keresahan mereka dan terus cari jalan untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Kita juga mesti memperkukuh organisasi dan bergerak sebagai satu pasukan yang tersusun dan berdisiplin.

“Cabaran politik akan terus datang, tetapi Keadilan mesti kekal teguh dengan prinsip dan agenda perjuangan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fahmi berkata meskipun kongres telah berakhir, tanggungjawab jentera parti masih berterusan dengan anggota parti itu perlu kembali bekerja lebih kuat, mendengar dan memastikan perjuangan itu terus membawa manfaat. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement