AYER KEROH: Pengurusan naratif dan komunikasi kerajaan perlu memberi keutamaan kepada menyelesaikan isu 'ekonomi perut' rakyat terbawah berbanding sekadar bergantung kepada angka pencapaian 'ekonomi periuk' yang bersifat makro.
Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, realiti politik dan sentimen semasa membuktikan wujud jurang penerimaan masyarakat di mana sentimen emosi berupaya mengalahkan angka prestasi kerajaan.
Mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kelemahan komunikasi parti dan kerajaan, Fahmi secara terbuka memohon maaf "dari hujung rambut ke hujung kaki" kepada seluruh perwakilan dan pimpinan atas kepincangan yang berlaku.
"Setelah lama mendengar, meneliti dan menelaah, kita berdepan dengan satu keadaan dalam komunikasi yang sangat berbeza iaitu emosi mengatasi prestasi. Emosi boleh mengalahkan prestasi.
"Banyak angka yang kita bentangkan, pertumbuhan KDNK 6 peratus, tahap pengangguran, perdagangan dan pelaburan, saya ringkaskan sebagai 'ekonomi periuk'.
"Ia bahan asas dan makroekonomi, yang mungkin jauh daripada rakyat dan tidak dirasai oleh ramai," katanya dalam Ucapan Penggulungan pada hari kedua Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, hari ini.
Mengulas perbezaan tersebut, Fahmi menjelaskan, 'ekonomi perut' merangkumi perkara harian yang dekat dengan denyut nadi rakyat seperti isu gaji, kos sara hidup dan pelaksanaan inisiatif penyasaran subsidi seperti Budi95.
Menurut beliau, sekiranya isu asas yang menekan kehidupan harian tidak diselesaikan terlebih dahulu, segala dasar serta kejayaan makro yang diusahakan kerajaan sukar untuk diterima oleh masyarakat.
"Perkara yang dekat dengan rakyat sebelum sampai ke hati ialah perut. Dari perut sampai ke hati.
"Hari ini, apabila ada keadaan perut rakyat tidak selesa, maka apa yang disediakan, rempah-ratus dan bahan-bahan yang baik daripada kejayaan kerajaan, tidak sampai ke perut dan tidak masuk ke hati.
"Maka, perlu diubati perut dan diatasi isu-isu yang menyentuh emosi rakyat," tegas beliau.
Sehubungan itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan bahawa Jabatan Penerangan parti kini mengubah pendekatan komunikasi dengan menggerakkan siri jelajah ceramah kelompok secara lebih kerap, dan berskala kecil di peringkat akar umbi, bagi memberi penjelasan terus mengenai dasar kerajaan secara santai dan interaktif.