KUALA LUMPUR: Satu konvensyen bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan bagi memastikan gerak langkah dan hala tuju yang seiring dalam memimpin negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, konvensyen itu juga antara lain bertujuan untuk menentukan pemikiran dan dasar yang sama dalam parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengadakan rundingan bersama ketua-ketua parti bagi menetapkan masa sesuai untuk kita melaksanakan konvensyen ini nanti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan, di sini, malam tadi.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pemimpin utama yang hadir sama ialah Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid dan seluruh kepimpinan UMNO susulan kejayaan yang dilakar pada pemilihan parti itu bagi sesi 2023-2026 yang telah selesai diadakan semalam.

"Ini satu kejayaan yang meyakinkan dan semestinya akan mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan," katanya.

Diminta mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan pembahagian kerusi bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri berkata, semua perbincangan berjalan lancar ketika ini.

"Perbincangan masih lagi dalam proses, berlangsung baik dan kita akan muktamadkan dalam masa singkat... kita tidak bincang mendalam (malam ini), Jawatankuasa Pilihan Raya Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan terus bincang," katanya.

Negeri yang terlibat dalam PRN pada tahun ini ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. - BERNAMA