KUCHING: Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 telah meluluskan usul khas membabitkan pindaan terhadap 15 perkara dalam Perlembagaan Parti PBB.

Usul khas tersebut dibentang oleh Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan disokong Penasihat Undang-Undang PBB, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Antara pindaan utama termasuk penubuhan sayap Pergerakan Belia PBB melibatkan Artikel 23A selepas Artikel 23 Perlembagaan Parti.

Menurut Awang Bemee, penubuhan sayap baharu itu tepat dan selari dengan penggubalan undang-undang berkaitan Undi18 membabitkan golongan belia.

PBB jelasnya mengambil serius mengenai pelaksanaan Undi18 sekaligus menyediakan platform khusus kepada individu berusia 18 hingga 28 tahun.

“Kita sedia maklum belia 18 tahun sekarang sudah boleh bertanding sebagai calon dan pengundi secara automatik jadi mesti ada wadah untuk membawa mereka bersama kita merealisasikan visi PBB iaitu berkorban, bersatu, berjasa dan berkhidmat untuk masa depan.

“Dari dahulu kita sudah melayakkan mereka yang berusia 18 hingga 28 tahun ini untuk bersama kita tetapi sekarang disebabkan penggubalan undang undang di peringkat persekutuan dan Sarawak, kita mahu peruntukan itu jelas dan teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul khas bagi meminda 15 perkara dalam Perlembagaan Parti Pbb semasa menghadiri Perhimpunan Agung PBB Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.

Turut dipinda, Artikel 8(1)(b), Artikel 8(3), Artikel 12, Artikel 13(50, Artikel 14(1)(c), Artikel 14(1)(l), Artikel 15(6), Artikel 18(4), Artikel 23(1)(a), Artikel 23A, Artikel 25(2), Artikel 25(3), Artikel 33, Artikel 38 dan Artikel 38(2).

Mengulas lanjut, kata Awang Bemee, selepas diluluskan di peringkat perhimpunan agung ia akan dikemukakan kepada Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk membolehkannya beroperasi sebagai badan yang sah dari sudut perundangan.

Turut dibentangkan katanya ialah Artikel 12(3) membabitkan pembatalan atau pelucutan keahlian anggota parti.

“Banyak organisasi mempunyai peraturan yang sama dan sebenarnya dalam menjadi ahli organisasi ataupun pertubuhan parti kita ada terma dan syarat yang ditetapkan, contohnya kalau kita berselisih dalam parti kita patut menghabiskan proses dalam parti itu untuk menyelesaikannya.

“Ia tidak harus di bawa ke pihak ketiga, supaya mana-mana perselisihan atau masalah, kita sebagai organisasi secara kolektif menyelesaikannya bukan pihak lain,” tegasnya.

Menurutnya lagi, ia bukan tindakan untuk mengenepikan hak sesiapa tetapi pematuhan kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh organisasi.