Soal individu yang dipertuduh tidak boleh dibebaskan dengan jaminan membangkitkan rasa kurang senang dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen pembangkang sewaktu cadangan pindaan Akta Hasutan 1948 dibentangkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam cadangan pindaan seksyen baharu 5(a) Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda akta tersebut, antara lain menyatakan bahawa jika seseorang dipertuduh atas kesalahan di bawah Seksyen 4(1a) dan diperakui secara bertulis oleh pendakwa raya, tiada jaminan boleh diberikan kepadanya demi kepentingan awam.

Cadangan itu selari dengan cadangan untuk mengenakan hukuman yang lebih tinggi bagi kesalahan hasutan yang menyebabkan kecederaan tubuh badan dan kerosakan harta benda.

Ia dibacakan buat kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

RUU tersebut juga menyertakan seksyen baru 5(b) yang menghalang seseorang yang dituduh di bawah Akta Hasutan daripada meninggalkan Malaysia jika dia dibenar untuk dilepaskan dengan jaminan, termasuklah memerintahkan orang yang dipertuduh itu menyerahkan dokumen perjalanannya.

“Mahkamah boleh memerintahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk tidak mengeluarkan dokumen perjalanan kepadanya,” memetik kata Zahid merujuk kepada seseorang tertuduh yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

Walau bagaimanapun, kelainan dalam cadangan pindaan berkenaan adalah mengenai perbuatan yang tidak lagi menjadi kesalahan di bawah akta yang dikenali sebagai Akta 15 tersebut, iaitu perbuatan mengembangkan kebencian, penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan

Zahid menjelaskan, itu termasuklah tindakan mengkritik kerajaan kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan.

Pindaan tersebut, menurut Zahid, selaras dengan hasrat kerajaan untuk bersikap lebih terbuka sekali gus membolehkan orang awam bebas memberikan maklum balas atau kritikan kepada kerajaan demi mewujudkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab di negara ini.

Begitupun, kerajaan tetap kekal dengan cadangan bahawa sebarang perbuatan atau tindakan menuntut pemisahan mana-mana negeri di dalam Malaysia dengan menyatakan mana-mana pihak yang berkecenderungan berbuat demikian boleh dianggap sebagai hasutan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar melalui akaun Twitternya menzahirkan pandangan berbeza mengenai perkara tersebut:


Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli juga masih kental dengan pandangannya bahawa pindaan Akta Hasutan tersebut masih membelakangkan hak dan keadilan atas pihak yang tertuduh.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen pula menimbulkan kegusaran dengan menyatakan sekiranya pindaan tersebut diluluskan Parlimen, dikhuatiri lebih banyak pemimpin pembangkang akan didakwa. Paulsen menyamakan situasi tersebut dengan nasib yang dialami pemimpin pembangkang di Mesir:

Begitu juga dengan peguam dan aktivis hak asasi, Syahredzan Johan juga mempertikaikan mengenai isu tersebut melalui akaun Twitternya: