POLITICS
Kubur: Semua pihak perlu hormati keputusan keluarga - Nik Omar

Nik Omar yang merupakan calon PKR-Amanah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 berkata, rancangan bekas perdana menteri itu untuk menziarahi kubur bapanya itu melibatkan sensitiviti keluarga. - Gambar fail
Nik Omar Nik Abdul Aziz , anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu semua pihak menghormati keputusan keluarganya yang tidak membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi kubur bapanya di tanah perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka di sini, hari ini.
Nik Omar yang merupakan calon PKR-Amanah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 berkata, rancangan bekas perdana menteri itu untuk menziarahi kubur bapanya itu melibatkan sensitiviti keluarga.
"Kita (perlu) raikan sensitiviti keluarga. Jadi saya rasa (perkara ini) tiada masalah dan Dr Mahathir juga tiada masalah (tidak menziarahi kubur bapanya)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dr Mahathir Bersama Rakyat di sini, hari ini.
Rancangan Dr Mahathir untuk menziarahi kubur Allahyarham Nik Abdul Aziz hari ini terbantut apabila dihalang keluarga bekas menteri besar Kelantan itu.
Bermula kira-kira pukul 9 pagi, anak Allahyarham, Nik Adli bersama anggota keluarga serta sekumpulan penyokong PAS bertindak mengunci pagar tanah perkuburan tersebut. Pintu laluan masuk ke tanah perkuburan itu juga dihalang menggunakan sebuah lori.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami