SEKONG: Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu pucuk pimpinan dalam Perikatan Nasional (PN) melihat secara serius dalam melantik Timbalan Perdana Menteri dari Sabah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim berkata, hal itu antara perkara yang ditunggu-tunggu dan diharapkan rakyat Sabah selama ini.

Menurutnya, PBS memberikan sokongan terhadap perkara itu kerana ia boleh memberikan kebaikan khasnya kepada rakyat dan negeri Sabah.

"Apa sahaja yang boleh memberi nilai tambah kepada Sabah kita menyokong sepenuhnya seperti nilai tambah kepada perjuangan kita memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah.

"Semestinya tiada yang mustahil kerana rakyat di Borneo ini mengharapkan perkara yang sama... Mudah-mudahan pucuk pimpinan akan melihat perkara ini secara serius demi untuk memastikan semangat penubuhan Malaysia itu dapat direalisasikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Sekong, di Sandakan, pada Ahad.

Sebelum ini, ramai rakyat Sabah mahukan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada pemimpin Sabah.

Mereka berpendapat, Sabah yang memegang status negeri termiskin dalam negara harus diberikan peluang memegang jawatan terbabit.