Desas-desus yang menyatakan lima kerajaan negeri yang mungkin akan terjejas akibat kemelut politik diperingkat nasional selepas keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) keluar Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai tidak tepat.

Peguambela dan Peguamcara, Datuk Setia Salahuddin Saidin berkata, malah pembentukan kerajaan itu masih sah kerana tiada arahan daripada parti itu di peringkat negeri.

"Kalau PPBM telah nyatakan di peringkat nasional telah keluar (PH) tetapi tiada arahan di peringkat negeri, maka kerajaan negeri boleh kekal.

"Tetapi (pembentukan) tertakluk kepada kerajaan yang memerintah ketika itu sama ada sedia menerima PPBM ataupun tidak," katanya ketika temu bual khas menerusi Buletin AWANI pada Rabu.


Mengulas lanjut, Salahuddin menambah, pembentukan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merupakan dua perkara yang berbeza diperuntukan di bawah Perlembagaan.

"Ini kerana, kerajaan pusat dan negeri adalah entiti yang berbeza kerana mempunyai pilihan raya sendiri selain kuasa untuk bubar Dewan Undangan Negeri terletak pada raja di setiap negeri.

"Perkara ini juga pernah berlaku di Selangor apabila Pas mengambil keputusan untuk keluar daripada kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat negeri, namun di negeri Selangor masih boleh bentuk kerjasama sebab dibenarkan diperingkat pusat," jelasnya.