JOHOR BAHRU: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (no 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti pada Khamis menjadi salah satu tanda Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, semakin hampir.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad tidak menolak kewajaran PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat.

Malah dakwaan itu dikuatkan selepas memorandum persefahaman (MoU) 2.0 antara parti tidak disambung.

"Akta lompat parti nyatakan pendirian MoU 2.0 tidak diteruskan. Sebagai tanda PRU wajar diadakan dalam masa terdekat.

"Kenapa ada MoU antara semua parti? Kerana menjamin kestabilan, jamin keadaan terkawal dalam Parlimen. Kalau tidak sambung, ianya tentu perlu diganti dengan sesuatu yang dapat jamin kestabilan yang lebih baik ialah PRU.

"Itu yang saya setuju dengan itu tanda PRU akan segera diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama kelab media Johor di Johor Bahru.

Jelas Hasni, menyentuh mengenai PRU15, Johor tidak menggunakan pendekatan kerusi tradisi.

Katanya BN tidak boleh ambil mudah dan perlu bekerja kuat untuk 26 kerusi Parlimen di Johor.

Hasni turut menjangkakan PRU15 di Johor akan membariskan lebih 70 peratus muka baharu.