KUALA LUMPUR: Lupakan pertelingkahan politik lama dan mula bekerja untuk membangunkan para belia di negara ini.

Demikian harapan Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM) Syafiq Ridzwan Jamaluddin agar kerajaan baharu lebih agresif membantu menangani masalah belia.

“Apa sahaja pertelingkahan politik yang lepas jangan dibawa sampai ke hari ini. Cukuplah drama politik sekian lama dan mari kita kembali kepada pembangunan negara serta belia di Malaysia.

“Ini kerana kita sering dimomokkan bahawa tahun 2023 bakal menyaksikan negara berdepan dengan kegawatan ekonomi yang akan menjejaskan kewangan belia juga.

“Kita tidak mahu lagi melihat belia negara ini hilang pekerjaan dan jadi papa kedana. Cukuplah belia berdepan dengan situasi ini ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu,” ujarnya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] 'Tiada niat roboh empayar Syed Mokhtar, jangan politikkan' - PM

BACA SEMUA BERHUBUNG KERAJAAN PERPADUAN DI SINI


Tambahnya, kerajaan juga disaran menyediakan pelbagai peluang, sokongan dan dukungan agar golongan belia mampu bersama-sama dalam agenda pembangunan negara serta negeri.

“Kita juga harap Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bersama Menteri KBS, Hannah Yeoh, bersama MBM wujudkan sebuah ekosistem supportive kepada belia-belia ini dalam segala aspek.

“Ini untuk memperkembangkan karakter, memperkembang potensi, idea dan ekonomi, maka apa yang kita perlu lakukan adalah kita perlu bersama bekerja dengan Jabatan Belia dan Sukan untuk mewujudkan satu ekosistem yang mesra belia,” ujarnya.