KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani menggesa Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, memulakan segala usaha yang perlu bagi menggantung tugas Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.

Menurut Pengerusi Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, penggantung tugas Raszi itu perlu dilakukan sebagai pengajaran kepada semua Ahli Parlimen.

"Adalah amat menjengkelkan apabila seorang bekas Menteri Kanan gagal menghayati prinsip Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan.

"Tindakan biadab Dr Radzi Jidin yang ditunjukkan kepada seluruh negara tidak wajar dibiar begitu sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Shamsul Iskandar juga memaklumkan Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani berpendirian bahawa Mohd Radzi mesti dihukum atas kenyataan jahat yang dibuat terhadap Perdana Menteri serta keengganan beliau mematuhi arahan Yang di-Pertua Dewan Rakyat di dalam Parlimen sewaktu sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul telah pun mengikut segala prosedur yang diperuntukkan di dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ketika sesi pergulungan KSP RMK12 pada Selasa, Dewan Rakyat kecoh apabila Mohd Radzi bangkit meminta mengarahkan Perdana Menteri menarik balik kenyataan yang didakwa sebagai sangkaan jahat terhadapnya.

Radzi kemudiannya diarahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat diarahkan keluar dewan kerana enggan mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Susulan itu, Ahli Parlimen pembangkang bertindak meninggalkan majlis selepas tidak berpuas hati dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat