KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa Malaysia memerlukan perubahan yang sistemik  dalam pentadbiran negara dan kepimpinan.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan tersebut termasuk mengelakkan rasuah dalam sistem pentadbiran dan keangkuhan kuasa.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menambah, walaupun pimpinan silih berganti, perkara itu tidak mencerminkan hasrat untuk membawa perubahan.

"Walaupun sebut kadang-kadang ini kekuatan Melayu Islam, tetapi apabila tengok diterjemahkan kepada tindakan, bobroknya sama.

"Oleh demikian, ia bukan laungan, bukan slogan tetapi keikhlasan hati nurani mencernakan, menterjemah dalam pemikiran dan dalam bentuk amal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden "Bangkit Bersama Rakyat" pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-15 secara maya, pada Ahad.

Anwar dalam ucapan dasar tersebut turut berkata, dalam mendepani isu tertentu termasuk berkaitan kesihatan, ketelusan dan fakta sains perlu menjadi rujukan.

Langkah itu dapat membantu sesebuah kerajaan mencerna, mencerakinkan serta merangka tindakan mengikut langkah yang perlu, tambahnya.

Selain itu, dalam ucapan dasar selama hampir 30 minit itu, Anwar turut menyentuh mengenai program vaksinasi negara, dan peningkatan kes jangkitan COVID-19 meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.

BACA: Kongres Nasional Tahunan PKR 2021 berlangsung serentak 2022

Dakwanya, kegagalan paling besar dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengawal pandemik COVID-19 ialah tidak menyediakan vaksin yang mencukupi.

Sebelum ini, PKR menangguhkan Kongres Nasional parti itu selepas mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kongres Nasional Tahunan PKR 2020 berlangsung menerusi platform dalam talian sepenuhnya disebabkan kekangan akibat pandemik COVID-19.