Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengetuai kerajaan sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, kata Wan Saiful Wan Jan.

Bekas Pengarah Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu berkata, PPBM akan memainkan peranan sama seperti mana Umno mengetuai kerajaan dalam Barisan Nasional (BN).

"PPBM perlu dilihat sebagai parti yang akan mengambil alih daripada Umno, cabaran yang PPBM hadapi adalah Melayu terdedah dengan propaganda Cina akan ambil alih, sedangkan itu propaganda.

"Kalau PH menang PPBM akan ketuai kerajaan, seperti mana Umno pimpin negara," katanya dalam satu forum di sini malam tadi.

Wan Saiful yang baru menyertai parti serpihan Umno itu menjelaskan kehadiran PPBM dalam PH bertujuan untuk menyakinkan pengundi Melayu bahawa agenda Melayu tidak akan dikorbankan oleh gabungan pembangkang jika membentuk kerajaan.

Katanya, PPBM perlu meenjadi tunjang parti atau parti utama dalam PH seperti Umno dalam BN jika mahu mendapat sokongan dan undi orang Melayu pada PRU14.

"Agenda PPBM perlu diterima sebagai naratif terbesar PH kalau tidak ia tidak akan berlaku," katanya yang dilantik sebagai timbalan pengarah strategi dan dasar PPBM.

Tambah beliau propaganda bahawa agenda Melayu akan terhakis sekiranya pembangkang menguasai Malaysia perlu diubah dengan cara PPBM menjuarai agenda Melayu.

Namun katanya, perkara itu bukan mudah kerana pemikiran orang Melayu sudah sekian lama didoktrinkan kononnya pembangkang akan mengenepikan agenda Melayu jika membentuk kerajaan.

"Kami sedar Umno paparkan imej ketakutan sejak sekian lama. Orang Melayu berfikir seperti itu.

"Untuk Melayu berubah minda mereka perlukan parti Melayu yang kuat dan memastikan tidak ada perubahan dalam kedudukan mereka," katanya.