Pengundi saluran satu yang berusia 40 tahun ke atas tidak boleh dilihat tidak mahu membuat perubahan, kata Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa.

Hujah Husam, ketika Pilihan Raya Umum ke-11, pengundi saluran satu pernah cuba membuat perubahan di Kelantan dengan memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, ketika itu 70 peratus pengundi yang berusia 40 tahun ke atas memilih BN hingga menyebabkan Pas hampir tewas pada tahun 2004.

Pada 2004, Pas menang di Kelantan dengan hanya perbezaan dua kerusi sebelum tinggal satu kerusi selepas hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Pasir setahun kemudian.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, andaian bahawa golongan yang memakai kopiah merupakan menyokong Pas adalah tidak tepat kerana golongan ini merupakan pengundi senyap atau “silent voter” yang mungkin akan mengundi parti lain.

"Dan kita tak boleh kata orang tua saluran satu tidak akan mengundi perubahan kerana pada tahun 2004 Pas hampir kalah kerana 70 peratus pengundi saluran satu mengundi BN.

"Jadi pakai kopiah, orang pakai kopiah pergi masjid orang ingat dia Pas, tak semestinya kerana dia pun lebih kritikal tapi buat masa sekarang mereka tak tunjuk takut bergaduh dan dituduh jadi kapir dan sebagainya, orang ingat bila pakai kopiah semua Pas," katanya pada satu sidang media pada Isnin.

Husam yang juga Adun Salor memaklumkan, atas alasan inilah Pakatan Harapan mengharapkan undi perubahan berlaku pada PRU14 akan datang.

Katanya selepas pilihanraya tersebut jugalah Pas memperkenalkan skim takaful kifalah kepada golongan tua di Kelantan bagi menarik undi mereka kembali kepada Pas.

Pada masa sama beliau mengingatkan bahawa golongan wanita yang kebanyakkannya menjadi peniaga dan penoreh getah mampu membuat perubahan atas alasan peningkatan kos sara hidup yang memaksa mereka untuk melakukan perubahan.

Husam juga memaklumkan, sambutan terhadap Pakatan Harapan di Kelantan terutama kawasan luar bandar dilihat membanggakan.