Tindakan menubuhkan parti islamik baharu oleh kumpulan progresif atau G18 yang tewas dalam muktamar PAS baru-baru ini menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan dan kemampuannya parti itu nanti dalam survival politik Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata tindakan penubuhan parti ini boleh dilihat sebagai satu perkara yang sihat untuk mengakhiri polemik antara golongan konservatif dan golongan progresif PAS.

"Pertembungan antara golongan konservatif dan golongan progresif dalam PAS sebenarnya satu pertembungan yang sudah lama berlaku sejak dulu lagi.

“Sebelum ini apa yang dilihat oleh orang luar ialah beberapa orang daripada golongan progresif diberi jawatan atau memenangi jawatan dalam peringkat PAS Pusat tapi PAS sememangnya tidak pernah berubah sebagai sebuah parti yang konservatif.

“Melihat keadaan ini, boleh dikatakan bila-bila sahaja golongan progresif ini boleh ‘dibersihkan’,” jelas Wan Saiful dalam satu sesi temu bual bersama Astro AWANI pada Selasa.

BACA: Pakatan baharu: Apakah jaminan ia tak akan terkubur juga?
BACA: Kumpulan pro-ulama menang pemilihan PAS dengan bantuan UMNO - Mat Sabu
BACA: Tiga calon kumpulan progresif dilantik AJK PAS Pusat

Tambah Wan Saiful, tindakan G18 ini bakal mempunyai sejarah tersendiri memandangkan ia mendokong ideologi demokratik islamik yang pertama di Malaysia.

PAS sememangnya tidak pernah berubah daripada menjadi sebuah parti yang konservatif. Melihat keadaan ini, boleh dikatakan bila-bila sahaja golongan progresif ini boleh dibersihkan.

"Kalau melihat parti-parti yang sedia ada di Malaysia sekarang, tidak ada yang mendokong idea tersebut. Jadi sekiranya mereka nak masuk DAP, atau masuk PKR, saya rasa ini satu perkara yang tidak sesuai kerana apa yang diperjuangkan oleh mereka adalah berbeza.

“DAP jelas dengan agenda demokrasi sosialnya, PKR pula mungkin agak kurang jelas sikit dengan perjuangan mereka sendiri, jadi G18 ini tidak sesuai untuk masuk mana-mana parti tersebut.

“Ataupun mana-mana parti serpihan lain seperti parti daripada Barisan Nasional sekalipun sebab mereka mendokong agenda yang berbeza,” tambah Wan Saiful.

G-18 terdiri daripada pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini seperti bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, bekas Naib Presiden Salahudin Ayub, dan bekas Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat.


Sebelum ini dalam satu laporan The Malaysian Insider menyatakan G18 menyifatkan kekalahan mereka secara blok dalam pemilihan itu menjadi "rahmat yang terselindung” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk Malaysia selepas ini.

Setiausaha jawatankuasa G18 Dr Dzulkefly Ahmad berkata penyingkiran mereka menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia.