Barisan Nasional sama sekali tidak gentar sekiranya MCA memilih untuk keluar daripada kerjasama itu.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata BN sebaliknya mungkin perlu mencari parti komponen mewakili kaum Cina yang lain yang boleh mewakili masyarakat berkenaan.

“Kami mahu bekerjasama dan mengukuhkan BN. Saya juga fikir mungkin kami perlu mencari parti komponen Cina yang lain. MCA begitu tidak popular dan mereka tidak dapat pulih, mungkin ia masa untuk kami melihat sekeliling bagi melihat sama ada terdapat pihak lain yang mahu memulihkan sokongan dalam kalangan komuniti Cina. Mungkin MCA sudah tidak boleh diperbaiki.

“Jika anda (MCA) tidak berminat untuk terus bersama BN, maka terima kasih dan selamat tinggal. Kami akan mencari pengganti anda. Jika anda mahu bekerjasama, mari kita duduk bersama dan bincang cara untuk memperkukuh BN bersama-sama,” katanya selepas merasmikan Majlis Pembukaan Gimnasium Kanak-kanak Pelbagai Spektrum ‘We Rock The Spectrum’ di Melawati Mall pada pagi Sabtu.

Bagaimanapun, Khairi berkata jika MCA ingin terus bekerjasama bagi mengukuhkan BN, MCA perlu memberikan perhatian dalam usaha memperkukuhkan parti mereka dalam pemilihan parti itu yang bakal berlangsung pada 4 November depan.

“Ia mudah untuk mereka menuding jari ke arah pihak UMNO dan kepada parti lain. Namun, jangan lupa bahawa MCA hanya tinggal dengan satu kerusi di Parlimen.

“Saya akui memang ada kelemahan dalam Barisan Nasional yang dikaitkan dengan UMNO dan UMNO harus selesaikan. Tetapi janganlah lupa bahawa MCA juga perlu menghadapi krisis besar, iaitu masyarakat Cina tidak lagi menyokong mereka,” tambahnya.

Terdahulu, Ketua MCA bahagian Kluang, Gan Ping Sieu berpendapat MCA wajar meninggalkan BN dan menyarankan satu pungutan suara diperlukan bagi memutuskan sama ada MCA perlu keluar daripada BN untuk mengukuhkan parti berdasarkan prinsip yang tersendiri.