MCA optimistik sokongan masyarakat Cina kembali meningkat kepada Barisan Nasional (BN) dan parti itu kini dalam kedudukan terbaik memenangi lebih banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata berdasarkan tinjauan dan maklum balas diterima di peringkat akar umbi, undi komuniti berkenaan akan kembali bertambah kepada parti itu.

"MCA sedang berusaha keras dan mempunyai pasukan yang mantap, manakala pembangkang berpecah tanpa visi. Kita sedia menggempur dan memenangi semula kerusi yang kita kalah dahulu," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-64 di Wisma MCA, di sini hari ini.

Sebagai persediaan menghadapi PRU14, beliau berkata MCA memahami keperluan dan kehendak kaum Cina, dan akan melaksanakan pelbagai strategi bagi mendekati mereka terutama golongan muda yang merupakan majoriti pengundi pada pilihan umum akan datang itu.

"Kita mempunyai mekanisme untuk mendekati mereka. Kita mempunyai institusi pendidikan bagi golongan muda untuk melibatkan diri mereka dalam pembinaan negara," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu MCA meningkatkan usaha untuk memenangi lebih banyak kerusi pada PRU14 dengan sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen berbanding tujuh kerusi pada PRU13.

Beliau berkata tambahan kerusi Parlimen itu perlu bagi memastikan masyarakat Cina terus mempunyai suara dalam kerajaan majmuk Barisan Nasional (BN) serta keperluan dan kepentingan mereka terjaga.

Mengenai senarai calon bagi PRU14, Liow berkata MCA bakal menampilkan muka baharu dan beberapa penyandang akan digugurkan.

Liow juga mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Bentong yang dimenanginya sejak 1999 pada PRU14.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata parti itu juga telah menghantar Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) ke Pulau Pinang yang dilanda banjir kilat dan ribut taufan, sejak semalam.

Sementara itu, Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-64 yang berakhir hari ini, turut meluluskan 15 resolusi merangkumi lima aspek - hal ehwal parti, politik, kerajaan, ekonomi dan pendidikan.

Antara diluluskan sebulat suara oleh 1,526 perwakilan adalah menyokong Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan menggesa masyarakat Cina di semua peringkat menyertai transformasi dan pembangunan nasional bagi mencapai misi menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Perhimpunan agung itu juga mahu kesemua anggota MCA menolak sekeras-kerasnya sebarang kenyataan dan tindakan ekstrimis sehingga boleh memecah-belahkan masyarakat.

Menyentuh aspek ekonomi, MCA mahu kerajaan menggubal suatu pelan menyeluruh bagi memajukan e-perniagaan termasuk pelaksanaan Revolusi Industri 4.0 dan penubuhan Zon Perdagangan Bebas Digital bagi memastikan rakyat turut serta dalam pembangunan ekonomi negara.

-- BERNAMA