GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional ( BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua parti komponen khususnya MCA agar tidak 'berkecil hati' dengan kerjasama yang dijalinkan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Beliau berkata semua pihak perlu menerima realiti politik baharu kini yang bekerjasama secara 'smart partnership' (perkongsian bijak) dalam kerajaan ketika ini.

Sebaliknya, setiap parti harus menyantuni keberadaan parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan bagi meraih dokongan ahli dan bukan ahli.

"Saya tidak mahu mana- mana parti berkecil hati bila kita bekerjsama secara 'smart partnership' ini tetapi perkukuhkanlah parti masing-masing untuk memperolehi dokongan daripada ahlinya, pengundi yang bukan ahlinya dan ketiga untuk berikan impression yang positif kepada partinya bukan adverse consequences yang berlaku disebabkan oleh perkara yang lampau.

"Jadi, perkukuhkan parti masing-masing untuk mengembangkan daya sokongan yang lebih tersebar luas. Itu lebih penting daripada melayani kekecilan hati mana-mana parti politik
," katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid hadir merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Spice Arena, Bayan Baru di sini pada Selasa. Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow .

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan, setiap parti komponen BN sama ada parti teras seperti UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mahupun parti bersekutu lain agar sentiasa memperkasakan parti masing-masing..

"Yang penting ialah kerjasama dengan semua parti di dalam BN namun realiti politik baru di dalam Kerajaan Perpaduan, kita harus menyantuni keberadaan parti dari kolobrasi ini, 19 parti yang ada di dalamnya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon sebelum ini yang mengingatkan BN supaya meletakkan kepentingan parti komponen dalam BN terlebih dahulu, bukannya mengutamakan Pakatan Harapan (PH) khususnya parti DAP.

Beliau juga berkata Ahmad Zahid perlu berpegang utuh kepada prinsip, selain berwaspada dalam hal berkaitan kerjasama antara kedua-dua gabungan.