AYER KEROH: Bahang politik Melaka dilihat masih belum reda berikutan Pakatan Harapan (PH)  negeri dijangka akan mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.

Difahamkan, sidang akhbar dijadualkan pada jam 10 pagi Isnin, bagaimanapun ia terpaksa ditunda berikutan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang didakwa bakal ‘melompat’ membuat pusingan-U saat akhir.

Selain itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga dikhabarkan akan membuat sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Bagaimanapun sehingga kini, belum ada apa apa jemputan rasmi daripada kedua-dua pihak selain tiada mana-mana wakil rakyat dilihat berada di sekitar kawasan hotel yang didakwa.

Astro AWANI difahamkan, PH negeri sudah mempunyai bilangan Akuan Bersumpah (SD) yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Memang pagi ini akan ada satu sidang media oleh PH serta empat wakil rakyat kerajaan yang akan bersama kita, kerana kita sudah ada SD yang cukup.

“Setakat ini semua 11 ADUN PH telah tandatangan SD, empat wakil rakyat kerajaan juga sudah (tandatangan), tetapi ada konflik sikit, kita terpaksa tundalah.

“Pagi ini (PH) ada perbincangan sedikit dahulu, kalau ianya berjaya saya yakin kurang setengah hari sahaja lagi kerajaan negeri Melaka akan bertukar tangan,” kata sumber itu kepada Astro AWANI, di sini, hari ini.

Difahamkan, sidang media ini akan dibuat oleh Pengerusi DAP Negeri, Datuk Tey Kok Kiew, bagaimanapun sehingga kini belum ada sebarang jemputan rasmi.

Antara empat wakil rakyat yang disebut-sebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

Idris dan Norhizam sebelum ini menafikan terlibat dengan sebarang gerakan menumbangkan kerajaan kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Untuk rekod Kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman dari UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada pakatan (PH) yang tumbang Mac tahun lalu.

Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.