KLANG: Mereka yang bersama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) tetapi tidak tahu mengenai ideologi parti dianggap sebagai penumpang dalam parti tersebut.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau khuatir dengan situasi itu dan menegaskan Amanah secara jelas dan tegas meletakkan perjuangan mendukung Maqasid Syariah sebagai misi dan perjuangan parti.

Menurutnya, lima kemestian perlu dipegang ialah 'Menjaga Agama, Akal, Nyawa, Keturunan dan Kebendaan dan pada kemuncaknya untuk 'Memelihara Kesejahteraan dan Kemakmuran Umat Manusia'.

“Berbeza dengan parti-parti Islam ‘generasi pertama’ yang memperjuangkan Islam di segi perlaksanaan Hukum seperti Hudud (RUU 355) dan penubuhan Negara Islam.

“Parti generasi kedua gerakan Islam, seumpama Parti Amanah Negara, memperjuangkan Islam dalam konteks realiti sesebuah negara bangsa dan memahami kedudukan Perlembagaan negara sebagai kerangka asas dalam pembinaan negara bangsa ini.

“Dengan posisi Islam yang termaktub dalam Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan, dengan kedudukan Raja-raja Melayu sebagai penaung agama dan rakyat, serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai lingua franca negara ini, Parti Amanah Negara berasa amat selesa dan jelas.

“Kami selesa untuk terus ‘memartabatkan dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan’ seperti terungkap dalam Perlembagaan Parti Amanah mengikut Fasal 3.1 dan Fasal 3.2,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sebuah hotel di Klang pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau mengakui parti itu mungkin terdedah kepada konflik dalaman dan keberantakan sekiranya wujud perjuangan untuk kepentingan diri atau kelompok tertentu.

Tegasnya, masalah itu boleh berlaku apabila ada pemimpin dan ahli yang kehilangan kompas moral khususnya dalam mendepani pemilihan parti kali ini.

Sementara itu, dalam ucapan sama, Ahli Parlimen Kota Raja itu menegaskan parti itu menolak diskriminasi kaum minoriti dengan konsep ‘Ketuanan Kaum’.

Tegasnya, Amanah juga menentang 'politik identiti' yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional.

“Politik identiti mesti ditentang oleh Parti Amanah kerana membawa pendekatan 'politik adu-domba', politik menakut-nakut orang Melayu dan lslam, kononnya Islam terancam dan Melayu terabai.

“Ternyata antara lainnya, apabila pegangan agama secara melampau (ghuluw), bergandingan dengan politik perkauman seolah-olah lupa akan sifat kepelbagaian budaya dan kemajmukan etnik negara bangsa ini.

“(Sekiranya diteruskan) Negara akan berterusan dalam keberantakan serta konflik perebutan kuasa politik dengan mengambil corak dan orientasi ‘identiti politik’, yang amat toksik, ekstrem dan jumud,” katanya.

Tambah beliau, agama dan kaum-etnik, adalah dua identiti yang paling mudah disalahgunakan dan ditunggang, sebagai modal atau kapital politik.

Ia sekali gus membawa kepada gejala ‘takfiri’ atau mudahnya ‘mengkafir’ lawan politik sebagai tidak Islam atau kurang Islam berbanding mereka.