Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa, (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali masih menganggap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang kawan dan negarawan meskipun dicemuh bekas perdana menteri itu kerana enggan bersama-sama dalam perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan menjalinkan kerjasama dengan DAP.

"Tak apalah, saya tak kisah. Saya akan tetap anggap Tun bukan saja sebagai kawan (tetapi) negarawan terbilang. Saya tetap akan hormat beliau.

"Saya tetap hormat dan akan cium tangan Tun walaupun dia bawa lari (mengelak) tangan dia.

"Hormat tetap hormat, sayang tetap sayang. Saya bukan macam orang lain," katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa di sini hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, kenyataan yang dilemparkan Tun Mahathir terhadapnya disifatkan berat.

“Daripada awal lagi ,saya beritahu Tun (Mahathir) belum lagi Parti Pribumi Bersatu ditubuhkan, ketika di hadapan Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Shafie Afdal, jika tubuh parti dan bekerjasama dengan DAP, anggap saya tidak ikut serta.

"Saya tidak hendak bekerjasama, bukan sekali (saya maklumkan) dan sudah beri penjelasan dan sebab sebabnya.

“Atas sifat sebagai Presiden Perkasa, sesiapa sahaja yang memperkotak-katikkan perlembagaan negara, Islam, agenda Melayu. Saya terkejut sebelum ini Tun Mahathir menegur DAP dengan hebat,” katanya.

Perkara itu katanya sudah dijelaskan dalam ucapan dasar Persidangan Agung Tahunan Ketujuh Perkasa 2016 pada 20 November lalu.

Sementara itu Ibrahim turut kecewa dengan tindakan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang memberi kenyataan tidak tepat dalam blog miliknya.

“Malangnya yang merasmikan persidangan (sebelum ini) adalah Tan Sri Zainudin Maidin. Selepas merasmikan, dia balik. Dia tidak dengar saya berucap maka dia tulis dalam Blog Zam kata saya tidak bersetuju dengan parti Tun Mahathir (kerana Anwar) dan tidak mahu ikut serta bukan kerana DAP tetapi kerana status Anwar Ibrahim,” katanya.

Namun, Ibrahim mengakui dirinya tetap kurang senang dengan Anwar kerana beranggapan beliau tidak boleh dijadikan pemimpin.