Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan diadakan pada 9 Sept, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata tarikh itu diputuskan bagi memastikan semua bahagian selesai bermesyuarat terlebih dahulu.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penajaan taman angkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menggesa penganjur perhimpunan BERSIH 4.0 yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Ogos ini supaya memilih lokasi lain selain Dataran Merdeka.

"Di Dataran Merdeka tidak sesuai kerana ia tempat bersejarah dan dijadikan lokasi untuk sambutan kemerdekaan," katanya sambil mencadangkan penganjur mengadakannya di stadium seperti Stadium Melawati di Shah Alam.

Sebelum ini, polis dan DBKL meminta penganjur perhimpunan itu tidak mengadakannya di Dataran Merdeka.