PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terus terang menyatakan akan menolak sekiranya Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 'rumah baharunya' ingin bekerjasama dengan Perikatan Nasinonal (PN).
Menurutnya, selepas dikhianati, beliau perlu lebih berhati-hati kerana tidak mahu perkara sama berulang.
Advertisement
“Saya tidak berapa yakin perkara itu (parti Hamzah masuk PN) boleh berlaku pasal kalau dia nak cari hala tuju tu, itu hak dia. Bukan hak saya untuk mengatakan kalau dia nak sertai parti sana ke, nak seberang dengan pihak belah sana ke, dengan mana-mana kumpulan, itu hak dia.
“Saya tak nak campur tangan tapi kalau dia nak masuk PN...hak menerima keahlian dalam Perikatan Nasional ni bukan satu. Kalau tanya saya, saya akan jawab, tak boleh pasal ‘once bitten twice shy’ (sekali dikhianati kena berwaspada).
"Orang yang sudah buat macam itu, hang nak masuk balik? PN ada empat keahlian parti yang akan mempertimbangkan boleh atau tidak. Tapi ikut pandangan peribadi saya, kalau dalam tempoh setahun dua, tidak nampak dia okey, minta maaflah, kita ni manusiakan. Tidak semudah itu,” katanya dalam Wawancara Khas bersama media tempatan di Ibu Pejabat Bersatu baru-baru ini.
Sebelum ini, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang mengesahkan wujud perbincangan tentang kemungkinan mengambil alih satu entiti politik yang dilaporkan dinamakan Parti Keluarga Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menyatakan rundingan tersebut masih pada peringkat teknikal.
Pada 12 Disember lalu, Lembaga Disiplin (LD) Bersatu memecat keahlian Hamzah yang juga Timbalan Presiden serta-merta kerana tindakannya yang melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu. - Sinar Harian