KUALA LUMPUR: Calon Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN) akan dibincangkan oleh Ahli-ahli Parlimen parti itu dalam mesyuarat malam ini, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Beliau berkata, ia merupakan ketetapan yang dicapai oleh mesyuarat MKT yang berlangsung lebih awal di lokasi yang sama, iaitu Menara Dato Onn.

Katanya lagi, mesyuarat Ahli-ahli Parlimen BN itu akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan akan disertai oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Najib Razak.

“Kita bersetuju serah kepada Ahli Parlimen BN untuk putuskan siapa calon Perdana Menteri,” katanya ringkas kepada media selepas selesai menghadiri mesyuarat MKT yang bermula kira-kira 8 malam tadi.

Ketika ditanya sama ada MKT memutuskan nama calon-calon PM, Mohd Sharkar berkata, perkara itu tidak dibincangkan, dan terpulang kepada Ahli-ahli Parlimen BN untuk menentukannya.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9?

BACA SEMUA BERHUBUNG POLITIK MALAYSIA DI SINI

Media difahamkan mesyuarat Ahli-ahli Parlimen BN bermula sekitar 9.30 malam.

Terdahulu, beberapa media melaporkan antara nama-nama dalam pertimbangan UMNO dan BN ialah Ahmad Zahid sendiri; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; dan Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.

Selain itu, dua lagi nama yang disebut-sebut sebagai calon ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada UMNO mahupun BN akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi susulan mesyuarat tersebut.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri serta seluruh barisan Ahli Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pada itu, Baginda turut memperkenan untuk melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara  sebelum Perdana Menteri Baharu dilantik semula.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran Muhyiddin tumbang selepas 15 ahli UMNO menarik sokongan terhadap Kerajaan PN.