KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini memutuskan untuk mendukung pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti akan membantu Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO itu, bagi memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan.

Selain itu beliau berkata, MKT setuju dengan pendekatan jenama “Keluarga Malaysia” serta “Kerajaan Malaysia” selain tidak lagi terikat dengan jenama “Perikatan Nasional”.

“Beberapa panduan utama telah dibincangkan dan dipersetujui bersama Perdana Menteri termasuk menyahut titah saranan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik COVID-19 dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik COVID-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus,” katanya lagi

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambahbaikan pakej-pakej bantuan rakyat.

Ia termasuk Bantuan Prihatin Nasional ((BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Bantuan Khas COVID-19 (BKC) selain pemberian moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan perlu terus menggunakan jenama "Keluarga Malaysia" dan "Kerajaan Malaysia" serta tidak lagi menggunakan jenama "Kerajaan Perikatan Nasional" memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan PBRS), Parti Perikatan Nasional (PPBM, Pas dan STAR), GPS dan PBS.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan perlu mempertahankan peranan dan sistem demokrasi berparlimen sebagai saluran semak dan imbang kepada kerajaan.

“(Kerajaan juga perlu) menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan yang dilakukan oleh Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi-institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan yang menjadi benteng mempertahankan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang Negara.

“UMNO mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berkata, ia termasuklah untuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti, campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan lain-lain.