ALOR SETAR: Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai secara prinsipnya Muafakat Nasional (MN) masih wujud diibaratkan seperti zombi.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar mendakwa, parti berkenaan masih lagi mahu menerima dan bekerjasama dengan sebuah parti didokong oleh pemimpin yang terpalit dengan kluster mahkamah.

"Mati pun tak, hidup pun tak. Saya anggap keadaan MN iaitu (melibatkan kerjasama) antara UMNO dengan Pas macam zombi.

"Ini sangat bahaya dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Mana-mana satu undi yang diberikan kepada dua parti ini di Johor, ia akan memberikan impak buruk kepada masa depan negara kita," katanya ketika sidang akhbar selepas Program Bantuan Awal Persekolahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang di Hutan Kampung dekat sini pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang percaya MN yang dimeterai di antara dua parti itu pada September 2019 masih wujud, malah belum ada pemimpin Pas dan UMNO mengisytiharkan kerjasama itu sudah tamat.

BACA: Muafakat Nasional belum berkubur - Tuan Ibrahim 

Mengulas lanjut, bekas Naib Presiden Pas itu berkata, kenyataan pemimpin Pas itu tidak akan memberikan sebarang jaminan selepas PRN Johor kerana kedua-dua parti itu juga turut bertembung dalam pilihanraya tersebut kerana berada di dalam gabungan berasingan.

"Ini bermakna Pas dari dulu lagi masih merengek untuk bersama UMNO. Mereka masih lagi mahu menerima parti yang yang didokong oleh kluster mahkamah," ujarnya.

Pada Jumaat, media melaporkan pemimpin kedua Pas, Tuan Ibrahim menjelaskan MN masih belum berkubur dan tidak ada mana-mana parti yang mengisytiharkan pembubarannya.

Menurutnya, status MN akan dilihat semula selepas PRN Johor.


Artikel asal di Sinar Harian