Ahli panel pemikir JASA Lokman Noor Adam menyambut baik berita penyertaan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam PKR hari ini.

Beliau dalam pada itu berharap perkembangan ini akan membuka hati mereka yang tidak sesuai jiwanya dengan UMNO untuk meninggalkan parti orang Melayu itu.

"Alhamdulillah, kurang satu gunting dalam lipatan dalam UMNO. Moga Allah buka pintu hati Mahathir dan Muhyiddin pula," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.

Gesaan Lokman itu merujuk kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lantang menyuarakan penentangan terhadap apa yang disifatkan mereka sebagai penyalahgunaan undang-undang dalam kes penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang di bawah SOSMA.

Menurut Dr Mahathir, Khairuddin hanya melaporkan kekeliruan yang berlaku dalam kerajaan dan seharusnya dibebaskan, manakala Muhyiddin menggesa semua ahli UMNO di setiap peringkat agar lebih berani menyuarakan pandangan serta kegusaran mereka terhadap pentadbiran dan kepimpinan parti itu.

Lokman, walau bagaimanapun, secara sinis kecewa dengan tindakan Saifuddin meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.

"Saya kecewa Saifuddin menyertai PKR. Bukan kerana dia meninggalkan UMNO, tapi kecewa kerana dia tak masuk DAP yang lebih serasi dengan jiwanya," ujar beliau.

Lokman, pada masa sama, optimis bahawa tindakan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu bakal membawa implikasi positif kepada UMNO.

"Selepas ini akan berkurangan orang UMNO yang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian sebenar parti.

"Semasa bersama UMNO, kita jenuh nak menjawab kepada rakyat setiap kali Saifuddin mengambil pendekatan populis dalam memberikan pandangan terhadap sesuatu isu," kata Lokman.

Saifuddin yang juga CEO Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) mengumumkan 'penghijrahannya' daripada UMNO dan menyertai PKR pada Khamis.

Kata Saifuddin, antara sebab beliau meninggalkan UMNO ialah kerana isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan RM2.6 bilion.