SHAH ALAM : Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta Speaker baharu, Lau Weng San, menarik semula peraturan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung pemakaian baju kebangsaan ditetapkan pada hari Jumaat sahaja.

Ketika membangkitkan perkara itu, Mohamed Azmin berkata, petua dikeluarkan oleh Speaker DUN Selangor pada penggal lalu tidak sah dan bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat 88.

"Merujuk kepada perkara (Peraturan Mesyuarat 88) semasa mengeluarkan perintah tersebut, Speaker hendaklah memandang kepada adat kelaziman Majlis Parlimen Negara-Negara Komanwel sepanjang perjalanan Dewan (Parlimen)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Pertama Mengangkat Sumpah Penggal Pertama DUN Selangor ke-15 di sini pada Selasa.

Mohamed Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang berkata, sidang DUN Selangor seharusnya merujuk pemakaian di Dewan Rakyat berikutan Malaysia antara salah sebuah negara Komanwel.

"Mengapa kita hendak merujuk Bangladesh atau pun Pakistan dan Fiji, sedangkan dalam konteks pemakaian ini negara Komanwel paling sesuai dirujuk adalah Malaysia.

"Saya hendak merujuk Peraturan Mesyuarat 41(F) menyatakan ahli-ahli lelaki hendaklah memakai pakaian kebangsaan atau pun 'lounge suit'.

"Dalam Parlimen peraturan mesyuarat telah menggariskan dan mencerakinkan peraturan ini dalam 41 (F), malangnya Peraturan Mesyuarat Negeri Selangor pada perkara 41 semuanya diikuti tetapi 41 (F) telah dikeluarkan," ujarnya.

Justeru, katanya, beliau berharap Speaker Selangor dilantik pada penggal baharu ini berpegang kepada perlembagaan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri dan peraturan mesyuarat.

"Saya tidak mahu ada pandangan di luar sana seolah-olah ada kumpulan cuma meremehkan baju kebangsaan yang sepatutnya diangkat martabat serta diberi keutamaan dalam majlis termasuk sidang DUN Selangor," tambahnya.

Beliau sebelum itu secara sinis turut menempelak ADUN kerajaan yang mengenakan pakaian tidak mengikut surat pekeliling Setiausaha DUN Selangor bertarikh 22 Ogos lalu.

"Antara perkara disebutkan dalam surat pekeliling ini, pemakaian bagi lelaki lounge suit hitam, berkemeja putih dan bertali leher dan bersongkok bagi Muslim.

"Namun, saya melihat sebahagian besar daripada ADUN tidak mengikut arahan surat pekeliling yang diedarkan, malah ada yang memakai baju Melayu terlalu terang (berwarna) merah bersinar," jelasnya.

Sementara itu, Weng San berkata, penggal pertama sidang DUN Selangor pada Selasa tidak terikat dengan apa yang telah diputuskan sebelum ini.

"Berkenaan pakaian seboleh-bolehnya kita ikut dalam peraturan tetap, tetapi kita menerima pakai fakta bahawa Selangor negeri majmuk yang ada berbilang kaum, agama dan budaya malah berwarna-warni pun," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, peraturan itu akan diteliti terlebih dahulu dan ia akan dibawa kepada Jawatankuasa Peraturan Tetap yang turut dianggotai ADUN bukan kerajaan.

"Undang-undang ini bukan statik dan perlu berubah mengikut peredaran masa selain kita ada ada wakil kerajaan dan pembangkang dalam jawatankuasa tersebut," katanya. - Sinar Harian